FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Kinshasa: Seorang terbunuh, manakala 11 lagi cedera selepas seorang tentera secara tidak sengaja melontarkan bom tangan roket (RPG) ke dalam stadium di Goma, timur Congo, semalam.

Perkara itu disahkan jurucakap tentera Guillaume Ndjike mengenai insiden yang berlaku di Stadium Unity Goma, petang, semalam.

Katanya, seramai 12 orang terkena letupan itu dengan salah seorang daripada mereka meninggal dunia akibat parah.

"Tentera itu melepaskan RPG dikendalikannya, ketika menaiki kenderaan yang melanggar bonggol di jalan berhampiran stadium," katanya dalam satu kenyataan.

Seorang penduduk Goma yang berada berhampiran stadium ketika kejadian, Prince Mumbere berkata, dia melihat pemain bola sepak yang cedera berlumuran darah keluar dari stadium.

Satu gambar tular di media sosial menunjukkan pemain bola sepak yang cedera dan seorang pemuda berlumuran darah, dipindahkan dari stadium.

Stadium terbabit terletak kira-kira 30 kilometer daripada barisan hadapan memisahkan kawasan tentera Congo dengan kumpulan pemberontak M23.

Puluhan kumpulan bersenjata aktif di timur Republik Demokratik Congo, susulan perang antara 1990-an dan 2000-an.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 9:51 AM