FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Kinshasa: Seorang tentera Congo membunuh sekurang-kurangnya 13 orang awam, kata tentera dan pihak berkuasa tempatan pada Ahad.

Tembakan itu berlaku di perkampungan nelayan Nyakova di wilayah Ituri di timur republik itu.

Jurucakap tentera, Jules Ngongo berkata, lelaki itu melepaskan tembakan selepas mengetahui anaknya yang meninggal dunia Khamis lalu, dikebumikan sebelum dia tiba di kampungnya.

Katanya, dua daripada anak tentera itu sendiri adalah antara mangsa yang mati ditembak.

"Anggota tentera Congo dihantar untuk menangkap askar itu yang melarikan diri dari tempat kejadian.

"Pihak mahkamah akan menangani kes ini kerana ia tindakan tidak berdisiplin tentera itu," katanya.

Sementara itu, Ketua kampung Oscar Baraka Muguwa berkata, lelaki itu melakukan serangan itu selepas pulang bertugas di kampung lain sebelum melihat penduduk setempat berkabung atas kematian anaknya.

Dalam pada itu, Kivu Security Tracker (KST) berkata, mangsa yang maut termasuk 10 kanak-kanak dan dua wanita yang menghadiri majlis pengebumian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 12:08 PM