KEADAAN banjir yang melanda Kinshasa. FOTO AP
KEADAAN banjir yang melanda Kinshasa. FOTO AP
Reuters

Kinshasa: Sekurang-kurangnya 120 maut selepas di ibu kota Kinshasa, Republik Congo dilanda banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat, menurut dokumen kerajaan yang dilihat oleh Reuters pada Selasa.

Keseluruhan kejiranan dipenuhi air lumpur, selain berlaku lubang mendapan antara rumah dan jalan raya termasuk Lebuhraya N1 menghubung antara Kinshasa ke pelabuhan laut utama Matadi.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Lebuhraya N1 mungkin akan ditutup antara tiga hingga empat hari.

Jumlah kematian mungkin terus meningkat.

Menteri Kesihatan Jean-Jacques Mbungani Mbanda memberitahu Reuters, kementerian mendapati kematian mencecah 141 orang, namun jumlah itu perlu disahkan menerusi pemeriksaan silang dengan jabatan lain.

Gambar disiarkan di Twitter oleh jurucakap kerajaan Congo, Patrick Muyaya menunjukkan jalan utama mendap sehingga menjadi jurang yang dalam, dengan orang ramai dilihat mengerumuni kerosakan itu.

"Terdapat lubang besar di laluan utama yang mana hanya seorang pejalan kaki dapat melaluinya," kata penduduk tempatan Gabriel Mbikolo.

Pernah menjadi sebuah perkampungan nelayan di tebing sungai Congo, Kinshasa kini berkembang menjadi salah satu bandar mega terbesar di Afrika dengan penduduk sekitar 15 juta.

Pembandaran pesat yang tidak dikawal dengan baik menjadikan bandar itu semakin terdedah kepada banjir kilat selepas hujan lebat, yang menjadi lebih kerap disebabkan oleh perubahan iklim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 8:46 AM