RAKAMAN menunjukkan Lopez Sanabria diserang, ditembak dan ditikam banduan lain di penjara El Pozo di Santa Barbara, Honduras. FOTO Agensi
RAKAMAN menunjukkan Lopez Sanabria diserang, ditembak dan ditikam banduan lain di penjara El Pozo di Santa Barbara, Honduras. FOTO Agensi
Agensi

TEGUCIGALPA (Honduras): Seorang banduan dikaitkan dengan adik lelaki Presiden Honduras yang dibicarakan kerana kes dadah terbunuh akibat diserang dalam penjara dengan ditembak berkali-kali serta ditikam.

Kejadian mengerikan itu dirakam kamera pengawasan di penjara El Pozo Sabtu lalu, menunjukkan Nery Lopez Sanabria, 37, diserang beberapa banduan lain manakala wardar penjara melarikan diri.

Menurut Daily Mail, Lopez Sanabria dilihat cuba melarikan diri namun terjatuh selepas tembakan pertama. Penyerang menembak kepala mangsa beberapa kali dan selepas itu, dua lagi banduan menikam tubuhnya, termasuk belakang dan kaki.

Penembak itu kemudian menghampiri Lopez Sanabria dan melepaskan beberapa tembakan lagi walaupun mangsa dipercayai sudah mati.

Lopez Sanabria didakwa sebagai rakan perniagaan bekas anggota kongres, Tony Hernandez (adik Presiden Honduras Juan Orlando Hernández) yang didapati bersalah mengedar dadah oleh mahkamah persekutuan New York pada 18 Oktober lalu.

LOPEZ Sanabria. FOTO Agensi
LOPEZ Sanabria. FOTO Agensi

Polis merampas puluhan buku nota milik Lopez Sanabria yang digunakan sebagai bukti dalam perbicaraan Tony.

Peguam mangsa, Carlos Chajtur, mendakwa kerajaan mengarah pembunuhan Lopez Sanabria malah petisyen untuk memindahkan Lopez Sanabria ke penjara lain sebelum dia dibunuh ditolak.

“Dia dibunuh bagi menutup mulutnya,” kata Chajtur.

Lopez Sanabria yang juga dikenali sebagai Magdaleno Meza Funez, pernah menjadi sasaran pembunuhan Februari lalu, apabila seorang banduan cuba meletupkannya dengan sebiji bom tangan yang disembunyikan dalam dubur namun cubaan itu gagal.

Dia menjadi perhatian selepas memalsukan kematiannya pada 2016, malah mengatur upacara pengebumian itu dalam usahanya mengelak daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Namun, dia ditahan pada Jun 2018 dan ditempatkan di Pusat Penjara Kebangsaan selama dua tahun sebelum ke El Pozo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 4:20 AM