ANGGOTA keselamatan ketika mengepung persekitaran rumah Joaquin. FOTO/REUTERS
ANGGOTA keselamatan ketika mengepung persekitaran rumah Joaquin. FOTO/REUTERS
Reuters

MEXICO CITY: Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador mempertahankan tindakan kerajaan membebaskan anak kepada raja dadah Joaquin "El Chapo" Guzman yang ditahan di Culiacan hari ini, demi keselamatan orang ramai.

Sebaik pasukan keselamatan menahan Ovidio Guzman di sebuah rumah, anggota kartel mengepung pasukan keselamatan sebelum berlaku pertempuran sengit menyebabkan Culiacan menjadi medan perang.

Anggota kartel menggunakan pelbagai jenis senjata berat, termasuk mesingan yang dipasang pada lori kecil.

Beberapa orang terbunuh dalam pertempuran itu namun sehingga kini pihak berkuasa tidak menyatakan siapa mereka, sama ada orang awam, anggota polis atau anggota kartel.

Lopez Obrador yang ditanya siapa yang membuat keputusan membebaskan anak Guzman berkata, keputusan itu dibuat anggota kabinet kerajaan dan beliau menyokong keputusan berkenaan kerana menyelamatkan nyawa.

Huru-hara di Culiacan masih berterusan sehingga malam dengan tembakan didengari di sana sini.

Lopez Obrador menolak kritikan kerajaannya bertindak lemah dengan membebaskan anak Guzman kerana menurutnya, strategi sebelum ini menyebabkan Mexico menjadi ‘perkuburan’.

Joaquin Guzman atau terkenal dengan gelaran El Chapo dua kali melarikan diri dari penjara Mexico iaitu pada 2001 dan 2015.

Kerajaan Mexico sebelum ini mengektradisi El Chapo ke Amerika Syarikat dan dia kini menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah menyelud dadah dan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 10:37 PM