DUTERTE
DUTERTE
AFP

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte cedera di pinggul dan mengalami calar-balar selepas terbabit dalam kemalangan motosikal.

Menurut jurucakap Salvador Panelo, Duterte yang mengumumkan dia mengalami penyakit myasthenia gravis (MG) minggu lalu, ditimpa kemalangan di kompleks istana presiden Malacanang lewat malam semalam.

“Presiden terjatuh dari motosikal ketika cuba mencapai kasutnya menyebabkan dia mengalami kecederaan ringan, lebam dan calar di siku dan lutut,” kata Panelo dalam satu kenyataan.

Katanya, kejadian berlaku sewaktu Duterte cuba meletakkan kenderaan selepas memandu di halaman dan pemimpin itu kini sedang berehat di istana tanpa memerlukan rawatan serius.

Bagaimanapun, bekas pembantunya, Senator Christopher ‘Bong’ Go memberitahu pemberita, Duterte terbabit dalam pelanggaran menyebabkan pinggulnya sakit, tetapi tidak dimasukkan ke hospital.

Go turut berkongsi video yang menunjukkan Duterte berpakaian rasmi tetapi tidak memakai topi keledar atau alat perlindungan lain memandu pada waktu malam. Kejadian kemalangan tidak ditunjukkan dalam klip.

Kesihatan pemimpin itu sering dipersoalkan sejak dia memegang jawatan pada 2016 kerana dia sering tidak menghadiri majlis, mesyuarat atau perbincangan mengenai penyakit itu.

Perlembagaan Filipina mengarahkan penyerahan kuasa perlu dibuat kepada naib presiden jika pemimpin negara itu sama ada mati atau tidak berupaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 3:45 PM