PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. FOTO Agensi
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. FOTO Agensi
Agensi

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte terus menimbulkan kontroversi apabila membuat kenyataan peningkatan kes serangan seksual, termasuk rogol di bandarnya, Davao City disebabkan ada ramai wanita cantik yang mendorong berlakunya jenayah berkenaan.

Kenyataan itu menyebabkan banyak pihak menuntut pemimpin berusia 73 tahun berkenaan meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya itu yang merujuk kepada Davao City yang Duterte pernah menjadi datuk bandar.

Menurut media Filipina, dalam ucapan di Mandaue City hujung minggu lalu, Duterte berkata: “Mereka kata banyak kes rogol di Davao. Ramai wanita cantik ada di Davao dan selagi terdapat ramai wanita cantik, selagi itulah banyak kes rogol,” katanya.

Bagaimanapun, pegawainya di Istana Malacanang menyatakan kenyataan Duterte itu sepatutnya dianggap sebagai jenaka.

Namun, seorang ahli parlimen, France Castro, menuntut permohonan maaf daripada Duterte.

“Kami menuntut Rodrigo Duterte menarik semula kenyataan itu dan membuat permohonan maaf.

“Kami menuntut pentadbirannya memastikan keadilan segera diberikan bukan hanya kepada mangsa rogol di Davao tetapi seluruh negara.

“Kes rogol berlaku kerana terdapat perogol, tiada kaitan dengan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 10:02 PM