BEJI Caid Essebsi tidak merancang untuk bertanding dalam pilihan raya pada November depan. FOTO EPA
BEJI Caid Essebsi tidak merancang untuk bertanding dalam pilihan raya pada November depan. FOTO EPA
AFP

MONASTIR: Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi yang berusia 92 tahun memaklumkan tidak merancang untuk bertanding dalam pilihan raya pada November depan, bagi memberi ruang kepada golongan muda.

“Secara jujurnya, saya tidak terfikir untuk bertanding,” kata Essebsi kepada parti Nidaa Tounes yang ditubuhkannya pada 2012 sambil menambah, sudah tiba masanya untuk memberi ruang kepada belia.

Essebsi berucap di depan ribuan ahli di kongres parti, beberapa hari selepas pemimpin Algeria, Abdelaziz Bouteflika, 82, meletakkan jawatan ekoran tunjuk perasaan besar-besaran menuntut peletakan jawatannya selepas memerintah selama dua dekad.

Presiden pertama Tunisia yang dipilih secara demokratik itu menggesa parti menyelesaikan pertikaian dalaman dan menerima kembali Perdana Menteri Youssef Chahed.

Ketegangan antara Chahed dan anak lelaki Essebsi, Hafedh Caid Essebsi menyebabkan perdana menteri diketepikan daripada parti Nidaa Tounes sehingga membentuk partinya sendiri, Tahia Tounes

Parti sekular Nidaa Tounes menang pada pilihan raya 2014 dan membentuk pakatan dengan parti Ennahdha yang bertahan selama empat tahun sebelum kedua-duanya berpecah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 10:22 AM