GAMBAR fail menunjukkan anggota keselamatan berkuda meronda pantai di Hotel Imperial Marhaba, lokasi serangan dua minggu lalu.
GAMBAR fail menunjukkan anggota keselamatan berkuda meronda pantai di Hotel Imperial Marhaba, lokasi serangan dua minggu lalu.
Agensi

Tunis: Perdana Menteri Tunisia, Habib Essid mengumumkan pembinaan tembok sepanjang 160 kilometer sepanjang sempadan dengan Libya untuk melindungi negara itu daripada militan Negara Islam (IS).

Pembinaan tembok itu sebagai langkah keselamatan terbaru yang diumumkan kerajaan selepas dua serangan oleh militan IS terhadap pelancong asing yang mengancam negara dan ekonomi negara itu.

Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat peranginan di Sousse yang membunuh 38 pelancong asing manakala sebelum itu kejadian tembakan oleh dua lelaki di muzium negara mengakibatkan 21 pelancong terkorban.

Rancangan membina tembok itu diketengahkan sejak 2012, namun kini pihak berkuasa melihatnya perlu disegerakan rentetan serangan bulan lalu di Sousse.

Pergerakan militan di Tunisia dan Libya mempunyai pertalian sejak 1980-an lagi.

Malah, sejak 2012 militan Tunisia dipercayai menjalani latihan di Libya selepas perang saudara di negara itu.

Presiden Beji Caid Essebsi mengisytiharkan darurat selama 30 hari minggu lalu disebabkan keadaan di negara itu yang tidak selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 9:39 AM