Tunis: Sekurang-kurangnya dua belas terbunuh dalam letupan bas yang dikatakan mensasarkan kenderaan yang membawa pengawal keselamatan presiden, di sini, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Menteri Luar Tunisia menggelar tragedi berkenaan sebagai `tindakan pengganas’.

Bas berkenaan meletup di tengah kesibukan kehidupan harian di Mohamed 5 Boulevard iaitu di tengah kota Tunis, petang Selasa.

Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi, kemudiannya mengumumkan `darurat’ selain mendakwa bahawa negara itu dalam `peperangan’.

Mengikut laporan wartawan tempatan, Aymen Abderrahman yang dipetik daripada Al Jazeera, dia memberitahu beratus anggota keselamatan berada di kawasan itu.

“Letupan itu betul-betul dekat bandar dan kawasan penempatan. Oleh itu, kebanyakan daripada penduduk berkumpul dan menangis kerana ini adalah kejadian pertama.

“Letupan itu boleh didengari sehingga seluruh bandar ini,” kata Abderrahman.

Aktivis yang juga penulis blog, Emir Sfaxi, berkata kejadian itu menimbulkan tanda tanya.

“Kawasan itu sebenarnya ramai polis. Selain itu, dekat pula dengan pejabat Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 5:02 AM