PRESIDEN Beji Caid Essebsi meletakkan kalungan bunga di Muzium Bardo, semalam sebagai memperingati mangsa yang terkorban dalam serangan Rabu lalu.
PRESIDEN Beji Caid Essebsi meletakkan kalungan bunga di Muzium Bardo, semalam sebagai memperingati mangsa yang terkorban dalam serangan Rabu lalu.

TUNIS (Tunisia): Pihak berkuasa Tunisia menahan lebih 20 suspek militan dalam satu operasi di seluruh negara sejak 23 orang terbunuh dalam satu serangan di Muzium Bardo Rabu lalu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mohamed Ali Aroui berkata, 10 daripada mereka yang ditahan dipercayai terbabit secara langsung dalam serangan berkenaan.

“Kami menjalankan satu operasi besar-besaran bagi menentang kumpulan pengganas ini,” katanya.

Kementerian itu juga menyiarkan satu gambar seorang lagi suspek dan merayu orang ramai menyalurkan maklumat.

Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.

Pada masa sama, satu akaun media sosial yang mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan al-Qaeda di Tunisia juga memuat naik operasi serangan itu secara terperinci.

Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi dalam wawancara dengan majalah Paris Match berkata, 10,000 pemuda negara itu menyertai IS.

“Majoriti mereka golongan muda yang tidak bekerja dan menganggap jihad itu pekerjaan.

“Kira-kira 4,000 rakyat Tunisia menyertai IS di Syria, Libya dan di beberapa negara lagi. Kira-kira 500 daripada mereka sudah pulang dan kini menjadi ancaman.

“Jumlah ini tidak termasuk 5,000 hingga 6,000 lagi yang kami berjaya halang daripada keluar negara bagi menyertai kumpulan militan itu ,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:55 AM