WAJAH Lam pada usia mudanya. FOTO South China Morning Post
WAJAH Lam pada usia mudanya. FOTO South China Morning Post

BEKAS aktres terkenal TVB, Yammie Lam Kit-ying ditemui mati di pangsapurinya di Stanley, Hong Kong, awal pagi semalam.

Seorang pegawai kanan polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui tanpa sebarang kesan luka itu sebagai Lam, 55.

Katanya, mayat yang mula mereput itu ditemui di tandas pangsapuri berkenaan yang terletak di Leung Ma House di Ma Hang Estate.

Cukup terkenal kerana kecantikannya, nama Lam mula masyhur lewat 1980-an selepas muncul dalam siri TV seperti Looking Back in Anger dan The Greed Man yang turut dibintangi Adam Cheng Siu-chow dan Sean Lau Ching-wan.

Menurut South China Morning Post, kali terakhir jiran aktres itu melihatnya adalah pada Rabu lalu.

“Kami turut menemui rekod panggilan telefon Lam pada hari sama, menunjukkan beliau mungkin mati sejak dua hari lalu,” kata sumber polis.

Polis kini cuba menghubungi keluarga Lam.

Populariti Lam merudum selepas terbabit dalam kemalangan pada 1998 yang mengakibatkan kecederaan serius pada tangan dan lehernya.

Beliau turut dilaporkan mengalami masalah mental dan diisytihar muflis pada 2006 sehingga terpaksa hidup dengan mengharapkan bantuan kewangan.

Pada 2013, industri seni Hong Kong sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan Lam yang mendakwa pernah dirogol dua peneraju utama industri hiburan tempatan berdekad lalu.

Namun, nama penyerang terbabit tidak didedahkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 6:46 PM