Mendiang Ng Man Tat (kiri) ketika bergandingan dengan Tony Leung dalam Chinese Midnight Express.
Mendiang Ng Man Tat (kiri) ketika bergandingan dengan Tony Leung dalam Chinese Midnight Express.
Agensi

Singapura: Nama mendiang, Ng Man Tat tercatat sebagai pelakon popular Hong Kong menerusi lakonannya dalam puluhan filem komedi bersama gandingan serasi yang juga rakan baik, Stephen Chow.

   Namun, tidak ramai yang tahu Ng juga pernah menetap di Johor Bahru agak lama sebelum membuat keputusan pulang ke Hong Kong dan meninggal dunia akibat barah hati pada 27 Februari lalu.

   Menurut portal AsiaOne, pelakon berusia 70 tahun yang meninggal dunia di Hospital Union, Hong Kong itu pernah tinggal di Malaysia bersama isteri yang juga warga tempatan agak lama.   

   Mendiang berkahwin dengan Hou Shan Yan, bekas naib juara pertandingan ratu cantik pada 1996 dan sejak itu membuat keputusan menetap di Malaysia.

   Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu seorang anak perempuan berusia 25 tahun dan anak lelaki berusia 18 tahun.

   Seorang saudara Hou memberitahu, pasangan ini agak lama menetap di Johor Bahru dan Ng hanya akan terbang ke luar negara sekiranya terbabit dengan penggambaran filem. 

   Ng bertemu dengan Hou ketika penggambaran filem "All's Well, Ends Well Too" di Singapura pada 1993 dan seterusnya mereka membuat keputusan berkahwin.

   Ng juga dilaporkan pernah berkahwin sebanyak dua kali dan perkahwinan kali pertamanya ketika dia berusia 25 tahun.

   Menerusi perkahwinan itu, dia dikurniakan dua cahaya mata kembar perempuan sebelum akhirnya bercerai. Selain itu, mendiang juga pernah berkahwin dengan aktres TVB, Lo Siu Chi dan dikurniakan seorang anak perempuan.

   Di saat-saat akhir usianya, Ng meluahkan hasrat untuk kembali ke Hong Kong dan dia menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam tidur. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 9:11 PM