Penunjuk perasaan prodemokrasi mengdakan upacara keagamaan di daerah Mongkok, Hong Kong.
Penunjuk perasaan prodemokrasi mengdakan upacara keagamaan di daerah Mongkok, Hong Kong.
Reuters

Hong Kong

Pemimpin Hong Kong Leung Chun-ying semalam menegaskan dia tidak akan melepaskan jawatannya dan memberi amaran pergerakan pelajar yang menuntutnya berbuat demikian semakin goyah.

Menurut Leung, penutupan beberapa kawasan di hab kewangan Asia itu yang kini memasuki minggu ketiga pasti tidak boleh bertahan lama.

Bercakap dalam temu ramah bersama stesen televisyen TVB, Leung berkata kerajaannya akan terus cuba mengadakan perbincangan dengan pelajar terbabit namun tidak menolak kemungkinan 'kekerasan minimum' digunakan untuk 'membersihkan' kawasan itu.

"Keadaan yang berlaku sejak beberapa minggu lalu ini membuktikan pergerakan besar-besaran seperti ini mudah dimulakan tapi sukar ditamatkan.

"Disebabkan saiznya, tiada siapapun mampu mengarah atau mengawal alirannya. Ia semakin tidak terkawal," katanya.

Dia turut memberi amaran bahawa pemimpin China di Beijing tidak mungkin mengubah fikiran berhubung keputusan mengehadkan demokrasi di Hong Kong.

Bekas jajahan Britain berkenaan sebelum ini dijanjikan penduduknya dilindungi di bawah sistem 'satu negara, dua sistem' ketika pertama kali dikembalikan kepada China, 17 tahun lalu.

Beijing bagaimanapun enggan memberi kebebasan kepada penduduk itu untuk memilih pemimpinnya, sebaliknya mahu menentukan siapa yang boleh bertanding merebut jawatan ketua eksekutif wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:07 AM