ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat dari runtuhan tanah. - Reuters
ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat dari runtuhan tanah. - Reuters
Agensi

Manila: Seramai 55 orang hilang termasuk enam kanak-kanak selepas dipercayai tertimbus akibat tanah runtuh di penempatan pelombong emas di Filipina selepas dilanda Taufan Mangkhut.

Penyelamat yang terdesak menggunakan cangkul dan tangan dengan harapan dapat menemui mangsa yang terperangkap selepas lereng bukit runtuh akibat ribut itu, lapor AFP.

Menurut Reuters, kebanyakan mangsa pelombong emas dan keluarga mereka yang tinggal di rumah bangsal terbiar dimiliki syarikat pelombong yang beroperasi secara haram, kata Dewan Perlombongan Filipina.

Sehingga kini, hanya tiga mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian di Ucab, Benguet itu.

“Saya pasti semua mangsa yang lain sudah mati. Kita akan teruskan usaha untuk mengeluarkan mereka sehingga penyelamat tidak larat melakukannya lagi.

“Ada antara penyelamat mempunyai anggota keluarga yang terperangkap,” kata Datuk Bandar, Victorio Palangdan.

Seramai 300 anggota polis, bomba dan sukarelawan berusaha mengalihkan batu, lumpur, sisa runtuhan serta air parit yang mengalir dari bangunan runtuh selepas berjaya mengeluarkan 12 mayat mangsa.

Kejadian berlaku akibat runtuhan dari kawasan pergunungan di bandar Itogon, tengah wilayah Benguet.

Menurut ABS-CBN, Ketua Polis wilayah itu, Superintendan Kanan Lyndon Mencio berkata: “Nampaknya tidak ada tanda-tanda ada yang masih hidup.”

Mangkhut yang melanda wilayah itu Sabtu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh, manakala ratusan keluarga terpaksa dipindahkan.

Ia dianggap taufan paling kuat melanda wilayah itu tahun ini yang memusnahkan banyak kediaman selain ribuan penduduk terpaksa bergelap akibat terputus bekalan elektrik.

Daily Mail melaporkan, Superintendan Polis Pelita Tacio yang berada di tempat kejadian runtuhan berkata, anggota penyelamat menemui seorang lagi lelaki, namun tidak dapat mengeluarkannya kerana dihimpit batu dan tersangkut dalam lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 12:09 PM