PENDUDUK Filipina membawa keluar mangsa Taufan Mangkhut. FOTO/AFP
PENDUDUK Filipina membawa keluar mangsa Taufan Mangkhut. FOTO/AFP
AFP

ITOGON: Ratusan penyelamat Filipina menggunakan cangkul dan tangan hari ini untuk menggali kawasan tanah runtuh, dengan puluhan dikhuatiri maut di rantau terjejas teruk akibat serangan Taufan Mangkhut ketika angka korban meningkat kepada 74 orang.

Taufan paling ganas tahun ini itu membadai rumah, menenggelamkan rantau pertanian utama di utara Filipina sebelum menyerang Hong Kong dan selatan China dengan angin kencang dan hujan lebat.

Hong Kong masih bergelut untuk kembali ke situasi normal hari ini dengan operasi pembersihan besar-besaran untuk mengalihkan pokok tumbang, membaiki jalan rosak dan tiang elektrik.

Ribut ganas itu mengorbankan empat orang di wilayah selatan China di Guangdong dan angka itu meningkat kepada 74 orang hari ini di pulau utara Luzon Filipina, menurut polis dengan jumlahnya dijangka bertambah.

Sehingga 40 orang dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh di Itogon Sabtu lalu ketika taufan membadai kawasan itu dan membawa isipadu hujan sebulan dalam tempoh beberapa jam.

“Ketika saya mengatakan ada 99 peratus jangkaan kesemuanya maut, masih ada lagi satu peratus. Usaha menyelamat akan diteruskan sehingga presiden (Rodrigo Duterte) mengarahkan kami berhenti,” kata Datuk Bandar Itogon, Victorio Palangdan kepada AFP.

Oleh kerana tanah runtuh itu memusnahkan jalan raya, pihak berkuasa gagal membawa jentera berat ke kawasan itu untuk mempercepatkan pencarian. Akibatnya, pasukan itu menggunakan tenaga manusia untuk mengalihkan runtuhan.

Usaha itu semakin sukar kerana tanah lembut mula mengeras dalam cuaca panas terik Filipina. Kru menggunakan air untuk cuba melembutkan tanah.

Hampir kesemua mangsa taufan maut dalam puluhan kejadian tanah runtuh di sepanjang pergunungan Cordillera, kawasan utama perlombongan emas.

Ramai yang tertimbus di sini adalah pelombong emas skala kecil dan keluarga yang berlindung dalam bangunan ditinggalkan firma besar perlombongan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 6:02 PM