PASUKAN penyelamat mengusung seorang pelombong yang cedera dalam letupan kelmarin.  - AP
PASUKAN penyelamat mengusung seorang pelombong yang cedera dalam letupan kelmarin. - AP

Teheran: Anggota penyelamat semalam berdepan kesukaran dalam usaha mencari dan menyelamat 14 lagi mangsa letupan lombong arang batu di utara Iran, tempat 21 pelombong terbunuh dalam kejadian kelmarin.

Pegawai berkata, harapan menemui 14 pelombong yang terperangkap semakin pudar di lombong di Azadshahr, wilayah Golestan.

Operasi menyelamat bertambah rumit dengan gas beracun yang memenuhi terowong lombong, selain kebimbangan runtuhan mungkin berlaku.

Pengarah Pengurusan Bencana Golestan, Sadegh-Ali Moghadam berkata: “Harapan menemui 14 pelombong berkenaan kini semakin tipis.

“Mayat 21 pelombong ditemui pada kedalaman 600 meter dan anggota penyelamat sudah turun 1,400 meter ke terowong tempat letupan berlaku.

“Masalahnya bahagian atas gerbang terowong tidak kukuh akibat letupan itu. Usaha mengukuhkan struktur terowong kini dijalankan,” katanya.

Terowong itu runtuh akibat letupan gas metana di bawah tanah ketika pekerja cuba menghidupkan enjin lokomotif.

Kira-kira 30 pelombong dirawat di hospital kerana keracunan gas dan pelbagai kecederaan lain. Mereka dilaporkan cedera selepas bergegas ke lombong itu untuk menyelamatkan rakan yang terperangkap. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:10 AM