Reuters

WANITA China mengaku bersalah di Boston, semalam atas tuduhan menipu dalam peperiksaan memasuki kolej.

Tertuduh menjadi individu terbaru berbuat demikian di tengah siasatan di Amerika Syarikat membabitkan pelajar antarabangsa yang menggunakan orang lain untuk memasuki universiti negara itu.

Leyi Huang, yang belajar di Universiti Pennsylvania State menggunakan visa pelajar, mengaku bersalah di mahkamah persekutuan di Boston bersubahat menipu kerajaan AS, menurut rekod mahkamah.

Pendakwa berkata, Huang, pada Mac 2016 mengatur supaya orang lain mengambil tempatnya dalam TOEFL, peperiksaan bahasa Inggeris digunakan untuk menilai permohonan asing, selepas beliau gagal mencapai markah minimum diperlukan untuk masuk ke universiti berkenaan.

Berhadapan lima tahun penjara, Hakim Dennis Saylor, menjatuhkan hukuman ke atas Huang, 21, selepas beliau bersetuju dihantar pulang, menurut dokumen.

Ketika China semakin makmur, lebih ramai pelajar negara itu memasuki kolej dan universiti di AS, tertarik dengan prospek pendidikan berprestij AS dan tawaran kerja menarik.

Menurut rekod mahkamah, Huang mengaku membayar AS$3,000 (RM11,000) kepada seseorang untuk mengambil peperiksaan TOEFL untuknya, dan menurut arahan broker, menghantar pasport China miliknya kepada alamat di Massachusetts.

Pasport itu digunakan oleh pelajar China di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Hult di Cambridge, Yue Wang, yang dikatakan pendakwa mengambil TOEFL bagi pihak Huang dan sekurang-kurangnya dua wanita China lain yang mahu memasuki universiti di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 12:02 AM