GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Agensi

WASHINGTON: Sebuah keluarga dari China membayar AS$6 juta (RM24.83 juta) kepada satu sindiket bagi membolehkan anak perempuan mereka memasuki universiti terkemuka Amerika Syarikat, Universiti Standford.

Jumlah dibayar pasangan suami isteri dari Beijing itu dikatakan yang terbesar pernah dibayar kepada pemilik agensi Edge College & Career Network, William ‘Rick’ Singer untuk memastikan anak-anak mereka dapat memasuki universiti elit di Amerika.

Menurut South China Morning Post yang memetik Wall Street Journal dan Los Angeles TimeS, sindiket itu terbongkar Mac lalu selepas pendakwa raya persekutuan melengkapkan siasatan selama setahun menerusi Operasi Varsiti Blues.

Singer menggunakan beberapa taktik bagi memastikan anak-anak pelanggannya diterima masuk, antaranya menyediakan laporan pelajar berkenaan adalah atlet berpotensi.

Hakikatnya, sebahagian besar pelajar terbabit tidak pernah menyertai sukan yang diyatakan itu.

Mac lalu, Pejabat Peguam Negara di Boston, Massachusetts, mendakwa 33 ibu bapa berkaitan kesalahan kemasukan anak mereka ke pusat pengajian tinggi elit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 8:36 PM