Beijing: Pihak berkuasa kini menggunakan dron untuk mengintip pelajar yang mengambil peperiksaan kemasukan ke universiti di China bagi mengekang penipuan, lapor media China.

Pegawai di Luoyang, tengah China menggunakan kaedah berteknologi tinggi itu untuk memantau pelajar sepanjang mengambil peperiksaan yang diketahui memang sukar.

Dron yang diterbangkan di atas pelajar yang mengambil peperiksaan dikenali sebagai ‘gaokao’ itu yang membabitkan lebih sembilan juta remaja setiap tahun.

Alat itu diputarkan 360 darjah untuk mengimbas dewan peperiksaan dan mengesan isyarat radio daripada alat disembunyikan dalam telinga yang mungkin digunakan untuk mendapat jawapan.

Dron berkenaan mampu terbang setempat sehingga setengah jam serta memantau aktiviti dari ketinggian sehingga 1,640 kaki, lapor laman portal berita People’s Daily Online.

Peperiksaan yang mengambil masa dua hari itu terkenal amat sukar dan pelajar turut berdepan tekanan kerana kekurangan tempat di universiti tempatan.

Hanya 6.5 juta pelajar diterima masuk ke universiti menyebabkan satu dalam tiga gagal meneruskan pengajian peringkat tinggi.

Sebuah sekolah menengah di wilayah Hebei terpaksa mendirikan penghadang ‘antibunuh diri’ awal tahun ini untuk menghalang pelajarnya terjun dari bangunan itu.

Sebelum ini, pelajar dilaporkan menipu menggunakan pen khas yang mengambil gambar soalan peperiksaan sebelum menghantarnya kepada rakan di luar yang membekalkan jawapan diperlukan melalui alat disembunyikan dalam telinga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:13 AM