FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Shanghai: Sebuah mahkamah di sini, menjatuhkan hukuman kepada seorang lelaki China, atas kesalahan melakukan penipuan kerana mencuri 2.6 juta yuan (kira-kira RM1.7 juta) daripada teman wanitanya, selepas dia menyamar sebagai doktor.

South China Morning Post melaporkan, lelaki bernama Zhang, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun enam bulan dan denda 250,000 yuan (kira-kira RM162,261) atas jenayah berkenaan.

Mahkamah mendedahkan kes itu pada Mei tetapi tidak menyatakan tarikh jenayah itu dilakukan.

Zhang, yang sebenarnya bekerja di sebuah hotel, memulakan penipuan pada 2016 selepas diperkenalkan dengan Huang, yang bekerja di pusat beli-belah.

Sepanjang hubungan enam tahun mereka, Zhang mendakwa dirinya pakar perbidanan dan sakit puan di sebuah hospital utama di Shanghai.

Zhang juga mendakwa mempunyai kelulusan dari sekolah perubatan terkenal di China hingga Huang tidak pernah meragui kisahnya.

Difahamkan, Zhang dan Huang mula menjalin cinta kira-kira tiga bulan selepas berkenalan.

Setiap kali Huang meminta untuk melawat teman lelakinya di tempat kerja, Zhang akan menangguhkan pertemuan itu dengan alasan mempunyai tugas pemeriksaan klinikal atau jadual pembedahan yang padat.

Jadi, mereka sering bertemu di luar hospital dan difahamkan, Zhang mengalami ketagihan bermain judi pada November 2016 dan menanggung hutang yang banyak.

Penipuan besar berlaku apabila Zhang memberitahu teman wanitanya bahawa dia merancang menjana wang yang mencukupi untuk membeli rumah, dengan mendepositkan sebahagian besarnya dalam dana sekuriti yang melabur dalam niaga hadapan ekuiti.

Bagi meyakinkan Huang, Zhang memalsukan dokumen palsu berkaitan dana pelaburan.

Ketika hubungan mereka, Huang memindahkan lebih 2.6 juta yuan (kira-kira RM1.7 juta) kepada Zhang, yang kesemuanya digunakan lelaki itu untuk berjudi dan membayar hutangnya.

Keluarga Huang mula menyatakan kebimbangan mengenai hubungan itu apabila Zhang mula mengelak daripada memulangkan wang itu.

Huang kemudian melakukan pemeriksaan dengan pihak hospital sebelum mendapati teman lelakinya tidak bekerja di situ, sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 1:51 PM