CONTOH alat pendengaran dengan warna kulit yang digunakan suspek dan pelajarnya untuk menipu dalam peperiksaan di Singapura. FOTO Reuters
CONTOH alat pendengaran dengan warna kulit yang digunakan suspek dan pelajarnya untuk menipu dalam peperiksaan di Singapura. FOTO Reuters
AFP

Singapura: Seorang tutor peribadi didapati bersalah dalam komplot membantu pelajar sekolah menengah warga China menipu dalam peperiksaan menggunakan peralatan canggih termasuk telefon pintar iPhone dan peralatan tanpa wayar.

Pendakwa raya memberitahu, Tan Jia Yan, 32, mengaku salah terbabit dalam komplot berkenaan bagi membantu sekurang-kurangnya enam pelajar yang menduduki peperiksaan O-Level.

“Pelajar terbabit dibekalkan dengan telefon yang disembunyikan di bawah pakaian mereka dan ia disambung dengan alat pendengaran tanpa wajar Bluetooth berwarna kulit,” kata pendakwa raya.

Tan yang bakal dijatuhi hukuman bulan depan, berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Warga China yang dilaporkan mengambil peperiksaan itu pada Oktober 2016, adalah pelajar di sebuah pusat tuisyen dan Tan mengajar di situ.

Pada hari peperiksaan berkenaan, semua pelajar itu menyembunyikan telefon pintar dan peralatan Bluetooth di dalam pakaian dan memakai alat pendengaran.

Tan yang turut mengambil peperiksaan itu melekatkan iPhone di dada dan menyembunyikan telefon itu dengan memakai jaket.

Dia kemudian menggunakan aplikasi FaceTime untuk berhubung dengan tiga lagi rakannya dan membuat siaran video secara langsung kertas soalan berkenaan.

Tiga rakan Tan yang mengaku tidak bersalah, akan mencari jawapan kepada soalan berkenaan dan menghubungi pelajar berkenaan untuk memberi jawapan.

“Siasatan mendapati operasi menipu yang canggih ini berjalan dari 19 Oktober hingga 24 Oktober 2016,” kata pendakwa raya.

Penipuan itu terbongkar pada hari terakhir peperiksaan apabila seorang pengawas peperiksaan mendengar ‘bunyi elektronik pelik’ dari badan seorang pelajar yang menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 4:16 AM