MENGUMPUL koleksi unik.
MENGUMPUL koleksi unik.
Aniza Zainudin

Perbezaan status perkahwinan antara pasangan kembar berusia 30 tahun ini, tidak sesekali-kali membataskan masa dan aktiviti berkualiti yang sering dilakukan Muhammad ‘Azam dan Muhammad ‘Azim Anwar sebelum ini.

Menyifatkan aktiviti ‘menyelam’ (mencari) pakaian mahupun barangan terpakai (bundle) sebagai satu daripada kegemaran bersama, kembar seiras ini sering menyelusuri lokasi popular di ibu kota, Jalan Raja Bot, yang sememangnya sinonim dengan koleksi bundle unik.

Menurut Muhammad ‘Azim, walaupun kembarnya sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata, mereka cuba memperuntukkan ruang untuk melakukan minat bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

DUA lelaki dalam keluarga.
DUA lelaki dalam keluarga.

“Sebagai contoh, sekiranya kami berdua masih belum tidur hingga awal pagi, selalunya kami akan mencuci mata di Jalan Raja Bot walaupun jam sudah menunjukkan ke angka dua.

“Kami sering mencari barang bundle yang jarang ditemui untuk dijadikan koleksi peribadi. Kadangkala, pencarian ini bukanlah dirancang, ia bersifat lebih spontan dan mengikut kelapangan masing-masing.

“Bagi saya, pelan tidak dirancang ini lebih menyeronokkan dan pada masa sama, kami bertukar-tukar idea dan pengetahuan mengenai sesuatu jenama sekali gus membuatkan kami lebih peka dengan benda yang baru.

“Konsep barangan yang jarang ditemui itu adalah subjektif bagi kami berdua kerana ada ramai pengumpul koleksi unik berbanding kami. Mungkin koleksi itu sebenarnya lebih dekat di hati kami.

“Antara koleksi unik menjadi kegemaran kami adalah kasut kolaborasi Adidas bersama Neighborhood dan Vans X Metallica. Selain itu, kami juga memiliki jaket kulit Schott bundle yang dibeli pada harga RM200 berbanding harga pasaran mencecah RM1,600 ke atas,” jelas penjawat awam itu.

KETAGIH kumpul koleksi topi.
KETAGIH kumpul koleksi topi.

Selain mengumpul koleksi figura seperti Power Rangers dan LEGO, pasangan kembar daripada enam beradik ini menjadikan koleksi kereta permainan, Hot Wheels, sebahagian daripada aktiviti bersama.

Sementara itu, kembarnya, Muhammad ‘Azam mendedahkan kegilaan terkini mereka adalah mengumpul topi dan menyifatkan topi edisi khas yang terletak di kepalanya, Obey x Huf adalah pertukaran hadiah hari jadi antara mereka berdua.

Berkongsi pengalaman menarik dilakukan bersama, editor portal hiburan ini mengakui hampir setiap perjalanan hidupnya diiringi bersama Muhammad ‘Azim termasuk menyaksikan konsert Metallica pada 2013, yang dikategorikan istimewa.

KETIKA menyaksikan konsert Metallica.
KETIKA menyaksikan konsert Metallica.

“Sebenarnya kami berdua mempunyai impian besar untuk mengusahakan kedai bundle sendiri yang bakal dijadikan ruang pameran koleksi unik berjaya kami kumpulkan bersama.

“Idea ini timbul apabila kami menyaksikan siri The Pickers yang ditayangkan Astro.

“Namun disebabkan faktor modal dan kos, perancangan jangka panjang ini perlu ditangguh dulu. Sementara itu, kami akan meneruskan pencarian barangan bundle yang jarang ditemui, bukan saja di Malaysia bahkan Thailand dan negara Asia Tenggara lain,” jelasnya.

Mencungkil pengalaman peribadi, lelaki ini berkata memiliki ‘kawan’ karib sejak lahir memberi keistimewaan apatah lagi mereka tidak kekok menyesuaikan diri dalam situasi baru termasuk berpindah sekolah kerana kembar sentiasa ada bersamanya.

Bagi Muhammad ‘Azim, berkomunikasi dengan kembarnya adalah rutin harian malah individu pertama yang menjadi rujukan adalah Muhammad ‘Azam terutama membabitkan kecemasan.

MERAIKAN perkahwinan Muhammad ‘Azam.
MERAIKAN perkahwinan Muhammad ‘Azam.

Menyifatkan kembarnya lebih pemalu dan agak pendiam, Muhammad ‘Azam mengakui tidak berdepan kesukaran meskipun memiliki hampir 90 peratus persamaan, kecuali salah faham orang luar untuk mengenal pasti identiti mereka

Biarpun saling mendorong, berkongsi rasa, rahsia dan minat yang sama, pasangan ini menegaskan mereka turut menghormati hak peribadi dan meminta kebenaran sekiranya ingin menggunakan barangan antara satu sama lain.

Kata mereka lagi, pasangan kembar perlu mengamalkan konsep ‘give and take’, jika tidak pastinya ia mengundang perbalahan dan pergaduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 10:47 AM