KOS bahan api/tenaga menggunakan EV adalah 11.4 hingga 51 peratus lebih rendah berbanding kereta enjin pembakaran dalaman.
KOS bahan api/tenaga menggunakan EV adalah 11.4 hingga 51 peratus lebih rendah berbanding kereta enjin pembakaran dalaman.
Mohd Zaky Zainuddin


PELAKSANAAN subsidi bersasar dijangka merangsang permintaan ke atas kenderaan elektrik (EV), khususnya pilihan yang lebih mampu milik.

Penganalisis TA Securities, Angeline Chin berkata, selain EV, rasionalisasi subsidi yang bakal dijalankan akan membuka jalan kepada peningkatan penggunaan kenderaan hibrid yang lebih tinggi di Malaysia.

Katanya, berdasarkan kajian Tenaga Nasional Bhd (TNB), kos bahan api/tenaga untuk menggunakan EV adalah 11.4 hingga 51 peratus lebih rendah berbanding kereta enjin pembakaran dalaman (ICE).

"Bagaimanapun, kerajaan perlu mempercepatkan pemasangan titik pengecasan EV untuk menyokong jualan kenderaan alaf baharu," katanya dalam nota penyelidikan.

Ketika ini, terdapat kira-kira 2,288 stesen pengecas EV di Malaysia, masih jauh untuk mencapai sasaran 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025.

Chin berkata, TA Securities percaya kerajaan akan melaksanakan program rasionalisasi bahan api secara lebih beransur-ansur kerana sebarang langkah drastik akan membebankan rakyat.

"Kami menjangkakan program ini (rasionalisasi subsidi) akan menjejaskan permintaan untuk kereta pasaran pertengahan, terutama dalam kalangan kumpulan M40 yang mungkin menangguhkan pembelian kereta baharu.

"Ia juga membawa kemungkinan golongan M40 memilih kenderaan enjin lebih kecil yang berpotensi memberi manfaat kepada Perodua dan Proton," katanya.

Beliau menjelaskan, firma penyelidik itu percaya impak itu boleh dikurangkan dengan pengenalan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), baru-baru ini dan jangkaan kenaikan gaji kakitangan awam menjelang akhir tahun.

"Pada pandangan kami, langkah ini menyediakan tunai tambahan kepada isi rumah, sekali gus mengurangkan kesan dasar rasionalisasi bahan api," katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan harga diesel tidak akan menjejaskan kumpulan B40 dan M40.

Chin berkata, golongan terkesan oleh rasionalisasi ialah kumpulan T20 dan kira-kira 3.5 juta warga asing.

"Program rasionalisasi ini dijangka menjimatkan kerajaan kira-kira RM4 bilion setahun," katanya.

Sebagai imbasan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, secara purata kumpulan T20 membelanjakan RM399 sebulan untuk petrol RON95, manakala kelompok B40 hanya membelanjakan RM243 sebulan untuk bahan api bersubsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 8:38 AM