FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Sebahagian golongan berpendapatan pertengahan atau M40 mungkin tidak lagi mendapat subsidi bahan api dengan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar kelak, demikian menurut Kenanga Research.

Penganalisisnya, Cheow Ming Liang berkata, kerajaan dijangka mendedahkan butiran subsidi bahan api yang disasarkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober 2023 bagi menggantikan subsidi bahan api pukal sedia ada, berkemungkinan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024.

Katanya, peralihan itu didorong oleh beban kewangan tidak mampan sedia ada yang memperlihatkan 35 peratus daripada subsidi berjumlah RM77.3 bilion pada 2022 telah digunakan untuk subsidi bahan api yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi (T20) lebih kaya.

"Dengan memanfaatkan Pangkalan Data Utama (PADU) baharu yang mengintegrasikan data daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kerajaan berhasrat untuk mengenal pasti penerima menggunakan kriteria 'pendapatan boleh guna bersih', yang bertujuan untuk mengecualikan sebahagian besar demografi T20.

"Kami percaya sebahagian daripada kumpulan M40 juga mungkin terputus, menyebabkan kuasa perbelanjaan kumpulan pengguna ini berkurangan," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata bahawa kerajaan mampu memperoleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Beliau berkata, penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24 peratus manakala berpendapatan sederhana (M40) sebanyak 41 peratus dan kumpulan T20 adalah 35 peratus pada 2022.

Sementara itu, Kenanga Research membuat semakan semula jangkaan penggunaan swasta yang lebih rendah bagi 2023 kepada 4.3 peratus berbanding 6.1 peratus sebelumnya berikutan keputusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 yang kurang memberangsangkan.

Ia berkata, walaupun berlaku kelembapan, ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang rancak harus terus menyokong perbelanjaan pengguna.

Menuju ke hadapan, katanya meskipun kategori berpendapatan tinggi dijangka mengekalkan kedudukan kewangannya, kumpulan berpendapatan sederhana mungkin menghadapi pengurangan pendapatan boleh guna disebabkan subsidi bahan api yang disasarkan akan berlaku.

"Sebaliknya, sektor kumpulan berpendapatan rendah masih akan menikmati bahan api bersubsidi sepenuhnya dan oleh itu tiada hakisan kepada kuasa perbelanjaan kumpulan itu.

"Selain itu, kumpulan itu akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan termasuk pemberian wang tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 2:36 PM