GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk tidak lagi menyedia subsidi buat isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah amat tinggi tidak boleh dilakukan secara pukul rata.

Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Kilat, Kuasa dan Tenaga Termaju, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata, isu bil elektrik sangat subjektif kerana berkait dengan penggunaan selain isu pemanasan global dan cuaca.

Menurutnya, barangan elektrik seperti kipas dan penyaman udara pula bukan lambang kemewahan sebaliknya keperluan, selain ada individu yang memerlukan suhu lebih selesa di rumah atau pejabat kerana masalah kesihatan.

Justeru katanya, kerajaan dilihat tidak sepatutnya mudah 'tersasul' apabila mengeluarkan kenyataan berkaitan isu subsidi elektrik.

"Dalam masa juga kita perlu ada kaedah dan mekanisme bagi membezakan pengguna 'kaya' dan 'miskin' yang bukan sahaja domestik tetapi industri sama ada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pejabat komersial dan multinasional," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zainal Abidin berkata, boleh dikatakan hampir kesemua rumah mempunyai kipas dan penyaman udara tidak kira tahap pendapatan isi rumah seseorang individu itu.

"Mereka yang B40 dan T20 juga ada penyaman udara dan tahap penggunaan mereka juga tidak menentu, mungkin ada B40 yang menggunakan penyaman udara lebih kerap berbanding pihak lain.

"Jadi penggunaan elektrik berbeza dan apa kaedah yang akan digunakan untuk membezakan mereka nanti. Justeru ia tidak wajar dilakukan tanpa ada mekanisme untuk semua tahap pendapatan kerana (penggunaan elektrik) adalah keperluan wajib.

"Justeru, peranan pihak berkenaan yang berkaitan bekalan elektrik juga memainkan peranan untuk membantu meringankan beban rakyat selain itu kerajaan juga perlu melihat semula serta memperhalusi perkara ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, bagi pengguna domestik yang membayar bil elektrik di bawah RM77 tidak terkesan dengan perubahan kos bahan api.

Menurutnya, bagi pengguna domestik yang bil elektrik melebihi RM77 dan pengguna komersial dan industri akan terkesan dengan perubahan kos bahan api di bawah ICPT atau penyaluran kos tidak seimbang.

"Di bawah pelaksanaan ICPT, kos bahan api akan disalur setiap enam bulan iaitu rebat diberikan sekiranya kos bahan api lebih rendah berbanding dengan kos asas yang ditetapkan. Di sebaliknya, kos tambahan (surcharge) akan dikenakan jika kos bahan api meningkat.

"Selepas Covid-19, kerajaan memberi rebat kepada pengguna domestik walaupun kos bahan api meningkat (tetapi) berdasarkan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kami menjangkakan subsidi melalui rebat untuk pengguna domestik yang penggunaan elektrik tinggi akan dimansuhkan.

"Kerajaan perlu jelaskan penggunaan elektrik melebihi berapa kiloWattjam (kWj) yang dikategorikan sebagai penggunaan tinggi. Ia adalah sukar untuk menentukan berapa B40 dan M40 akan terkesan kerana tiada penanda yang jelas," katanya.

Semalam Anwar mengumumkan, isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.

Beliau dilapor berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 3:57 PM