FAMILYMART Malaysia dimiliki oleh Maxincome Resources Sdn Bhd.
FAMILYMART Malaysia dimiliki oleh Maxincome Resources Sdn Bhd.
Wartawan BH


Kuala Lumpur: Pemegang saham terbesar FamilyMart Co Ltd, Itochu Corporation akan menamatkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Elbit Systems, sebuah syarikat pertahanan Israel.

FamilyMart Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, ia menyedari mengenai seruan di media sosial untuk memboikot FamilyMart di negara ini.

Ia berkata, pada Mac 2023, dilaporkan bahawa Itochu Aviation, iaitu syarikat kepada Itochu Corporation menandatangani MoU dengan Nippon Aircraft Supply dan Elbit Systems untuk mengimport teknologi pertahanan ke Jepun bagi tujuan keselamatan negara itu.

"Kami dimaklumkan bahawa pada 5 Februari 2024 oleh FamilyMart Co Ltd Japan bahawa Itochu Aviation akan menamatkan MoU itu, seperti yang dilaporkan dalam berita di Jepun.

"Keputusan itu dibuat bagi menyokong sokongan kerajaan Jepun terhadap perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa baru-baru ini, termasuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di jalur Gaza.

"FamilyMart Malaysia mengulangi pendirian bahawa kami tidak menyokong keganasan atau pembunuhan dan kami tidak menyumbang atau menderma atau berurusan dengan Israel," katanya.

FamilyMart Malaysia dimiliki oleh Maxincome Resources Sdn Bhd, salah satu daripada anak syarikat QL Resources Bhd.

Maxincome Resources menjalin perjanjian selama 20 tahun bersama FamilyMart Co Ltd.

Kesemua perkhidmatan makanan dan pilihan sedia dimakan FamilyMart Malaysia dibuat hanya menggunakan bahan halal.

FamilyMart membuka cawangan pertamanya di Wisma Lim Foo Yong, Kuala Lumpur, pada 11 November 2016.

Rangkaian kedai serbaneka itu menjadi popular kerana yang pertama menjual hidangan segar seperti oden dan aiskrim lembut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 12:19 PM