PERTUKARAN MoU  disampaikan  Jamal  (kiri) kepada  Dai Hoshiai sambil disaksikan   Baharin  dan  Ng Mun Kiet.
PERTUKARAN MoU disampaikan Jamal (kiri) kepada Dai Hoshiai sambil disaksikan Baharin dan Ng Mun Kiet.

TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) menjalin kerjasama strategik dengan tiga syarikat berprestasi tinggi bagi menjalankan kajian bahan bakar penjanaan dan rantaiannya dalam mengukuhkan perjalanan peralihan tenaga Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekali gus menyokong negara neutral karbon 2050.

Anak Syarikat milik penuh TNB itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh tiga tahun baru-baru ini dengan MNA Fuel Services Sdn Bhd (MNAF), Itochu Malaysia Sdn Bhd (ITOCHU) dan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA).

Kajian dijalankan bersama MNAF bakal mengembangkan potensi sumber pertanian menjadi bahan bakar penjanaan dengan membabitkan pembangunan pelet biomas daripada buluh.

Kerjasama dengan ITOCHU pula membabitkan kajian ke atas seluruh rantaian bekalan ammonia sebagai sumber baru bahan bakar manakala CIMA meliputi kerjasama perniagaan seperti pembekalan bahan api, bahan mentah alternatif, penyelidikan dan perkongsian kemahiran teknikal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata, kerjasama antara TNB dan rakan niaga strategik ini akan mengukuhkan lagi sokongan TNB terhadap agenda hijau kerajaan dalam usaha mencapai masa depan lebih mampan demi kesejahteraan rakyat.

"Selaras dengan aspirasi negara, perjalanan ke arah teknologi mampan memerlukan perubahan ketara dalam cara kita memilih dan membangunkan program penyelidikan, teknologinya dan peralatan serta tenaga kerja yang diperlukan.

"Inilah yang dilakukan dalam kerjasama strategik ini dengan setiap syarikat terbabit berpengalaman luas dalam bidang masing-masing," katanya berucap di majlis pertukaran dokumen MoU dengan ketiga-tiga syarikat itu, baru-baru ini.

Antara yang hadir Pengerusi CIMA, Datuk Zaiviji Ismail Abdullah; Pengarah Urusan ITOCHU, Dai Hoshiai; Pengarah Urusan MNAF, Zulkifli Ahmad; Pengurus Besar Kanan SIRIM; Mohd Hamim Imam Mustain, Ketua Pegawai Kawal Selia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Shamsul Ahmad dan Pengarah Urusan TNBF, Jamal Yusoff.

Kesemua MoU ini menyasarkan pelaksanaan kajian bersama dalam pembangunan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), Tenaga Boleh Baharu (TBB), ekosistem tenaga hijau, pengurusan rantaian pembekalan sumber dan memanfaatkan kepakaran teknikal dalam organisasi.

Menurut Baharin, adalah menjadi sebahagian daripada strategi TNB pada masa hadapan untuk mengguna pakai teknologi lebih hijau secara progresif dalam usaha memenuhi kesedaran dan harapan terhadap ekosistem yang mengurangkan perubahan iklim.

"Kami juga percaya tenaga hijau adalah penting ke arah mewujudkan industri tenaga yang mampan, justeru, kami amat berbesar hati atas kerjasama dengan rakan strategik yang saya percaya akan terus menyumbang kepada kejayaan agenda Peralihan Tenaga negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 7:00 AM