PEMAIN KDA FC, Sony Norde (tengah) mengawal bola biarpun cuba dihalang pemain Penang FC. FOTO FB MFL
PEMAIN KDA FC, Sony Norde (tengah) mengawal bola biarpun cuba dihalang pemain Penang FC. FOTO FB MFL

Georgetown: Penang FC gagal manfaatkan aksi di tempat sendiri apabila tewas tipis 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Sebaliknya kemenangan itu memberi kelegaan buat KDA FC sebelum kedua-dua pasukan bertemu kembali dalam aksi timbal balik selepas ini.

Jaringan Hasbullah Abu Bakar sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat skuad kendalian Nafuzi Zain ke atas anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

KDA FC berpeluang menambah jaringan menerusi Ebenezer Assifuah, namun video bantuan pengadil (VAR) menafikan hasrat penyerang kelahiran Ghana itu apabila Fazrul Amir didapati ofsaid.

Aksi di babak pertama turut menyaksikan VAR membatalkan keputusan sepakan penalti selepas pengadil mendapati ketua pasukan Penang, Rafael Vitor, tidak melakukan sebarang kekasaran ke atas pemain tengah Kedah, Sukhrob Nurulloev.

Tiga kad kuning dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli kepada pemain kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 11:00 PM