Pengarah PenMas SPRM, TPj Nazli Rasyid Hj Sulong mahu didik golongan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) menjauhi rasuah melalui Konvensyen AMAR
Pengarah PenMas SPRM, TPj Nazli Rasyid Hj Sulong mahu didik golongan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) menjauhi rasuah melalui Konvensyen AMAR
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Usaha pencegahan rasuah perlu ditanamkan di kalangan mahasiswa pusat pengajian tinggi di negara ini.

Matlamat itu cuba disebarkan Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bakal menganjurkan Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Kali Kesembilan Tahun 2024.

Langkah itu selaras hasrat menjadikan golongan penuntut sebagai 'Key-communicator' dalam menyebarluas usaha pencegahan rasuah di negara ini.

Bertemakan 'Mahasiswa Bermaruah Memartabat Negara', konvensyen akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 Jun sehingga 30 Jun 2024 bertempat di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka.

Program ini akan menghimpunkan seramai 118 ahli AMAR terdiri daripada Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi membabitkan 20 daripada Institusi

Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pendidikan Guru (27), Institusi Pendidikan MARA (55) dan 16 daripada Institut Pendidikan Tinggi Swasta.

Konvensyen ini juga akan turut disertai oleh ahli AMAR yang baharu ditubuhkan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU).

Pengarah PenMas SPRM, TPj Nazli Rasyid Hj Sulong berkata, konvensyen ini diharap dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan pendidikan pelajar dalam isu rasuah supaya mereka lebih peka serta prihatin bahawa tanggungjawab memerangi rasuah adalah tanggungjawab semua pihak.

Beliau berkata, golongan pelajar juga adalah golongan sasar yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan dengan nilai-nilai murni, pendidikan pencegahan rasuah dan

penyalahgunaan kuasa.

"Ia sebagai asas penting sebelum menempuh alam pekerjaan yang

akan terdedah kepada jenayah rasuah. Saya berharap dengan pendedahan diberikan pada konvensyen kali ini, peserta dapat membentengi diri daripada perkara negatif.

"Konvensyen kali ini juga bertepatan dengan hasrat SPRM yang mahukan golongan pelajar turut bersama-sama menggembleng tenaga dengan Suruhanjaya ini bagi membanteras rasuah sekali gus mewujudkan masyarakat yang menolak rasuah atau 'zero tolerance to corruption'," katanya.

Menerusi konvensyen yang berkonsepkan pertandingan ini, peserta akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi ceramah dan dialog, team building, pembentangan kajian keberkesanan program AMAR serta pengisian kerohanian dengan objektif yang memberi fokus untuk mendapatkan dan memelihara sokongan golongan pelajar supaya mereka dapat bekerjasama dengan SPRM.

Bagi menjayakan Konvensyen AMAR Kali Kesembilan ini, ia turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Yayasan Bank Rakyat, Agrobank serta Faiza Sdn Bhd sebagai rakan strategik sejak penganjuran konvensyen peringkat kebangsaan yang pertama pada tahun 2009.

Untuk rekod, konvensyen AMAR yang diadakan sebelum ini hanya dihadiri oleh ahli-ahli AMAR di Institusi Pengajian Tinggi Awam, Institusi Pendidikan Guru dan juga ahli-ahli AMAR di Institusi Pendidikan MARA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:52 PM