PASUKAN Austria. FOTO Agensi
PASUKAN Austria. FOTO Agensi
Reuters

Leipzig, Jerman: Empat tonggak pertahanan Austria dilaporkan terlepas menyertai latihan menjelang aksi kalah mati Euro 2024 bertemu Turkiye, Rabu ini.

Ketiadaan empat pemain utama di bahagian pertahanan itu nyata memberi tamparan hebat buat Austria yang tampil buat pertama kali di pusingan 16 terbaik saingan tertinggi Eropah itu.

"Anda boleh berlatih tetapi situasi pasukan ketika ini cukup tertekan. Sukar untuk saya gambarkan keadaan kami ketika ini," kata pemain tengah Austria, Florian Grillitsch.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata lagi, sesi latihan yang diadakan hari ini tanpa kehadiran pemain pertahanan yang mengalami kecederaan sekali gus rutin latihan terpaksa diubah dengan hanya melakukan aktiviti sepakan penalti.

Difahamkan Gernot Trauner mengalami kecederaan peha dan Phillipp Mwene tidak turun berlatih kerana demam.

Manakala Philipp Lienhart dan Leopold Querfeld pula sekadar membuat latihan secara individu selepas bertungkus lumus ketika mengejutkan Belanda 3-2 pada aksi terakhir kumpulan Selasa lalu.

Hasil kemenangan ke atas Belanda, menyaksikan Austria muncul juara Kumpulan D untuk berhadapan dengan Turkiye yang menamatkan saingan Kumpulan F selaku naib juara.

Pemenang antara Austria dan Turkiye akan menentang Romania atau Belanda di suku akhir nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 1:22 AM