Datuk Ruslin Jusoh. FOTO Arkib NSTP
Datuk Ruslin Jusoh. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melakukan siasatan berhubung dakwaan seorang pengarah syarikat pekerja asing dipukul pegawai Imigresen semasa ditahan dalam operasi penguatkuasaan pada 25 Jun lalu.

Malah, pengarah syarikat terbabit juga menafikan dirinya adalah dalang sindiket pengemis.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya merujuk dakwaan itu menerusi laporan dikeluarkan sebuah portal akhbar dalam talian berhubung perkara itu, hari ini.

"JIM akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil dalam usaha membendung penyalahgunaan kuasa.

"Pada masa sama, kami sedang menunggu laporan lengkap daripada JIM Kuala Lumpur dan akan meneliti dakwaan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jika didapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau penyalahgunaan kuasa oleh pegawai terbabit, tindakan dan hukuman tegas akan diambil.

"Kami memandang serius kes penyalahgunaan kuasa membabitkan pegawai JIM.

"Kami juga tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melakukan pelanggaran SOP sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan JIM membongkar sindiket didalangi seorang lelaki yang memaksa mangsa dalam kalangan warga asing mengemis selama lebih 14 jam sehari menerusi operasi di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, pada 25 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 12:26 AM