Pemain Terengganu FC, Ismaheel Akinade meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada aksi Perlawanan Suku Akhir Pertama Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC, Ismaheel Akinade meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada aksi Perlawanan Suku Akhir Pertama Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) berpeluang cerah untuk melangkah ke separuh akhir saingan Piala FA selepas membelasah Sabah FC 4-0 pada aksi suku akhir pertama, sebentar tadi.

Biarpun tanpa ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner akibat Covid-19, skuad yang dikendalikan penolong jurulatih, Badrul Afzan Razali itu bermula garang dengan gol pertama menerusi tolakan mudah pemain tengah, Manuel Ott pada kesembilan.

Tiga minit berselang, pemain tengah skuad Sang Badak, Telmo Ferreira hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan derasnya sedikit melepasi palang gol.

Pada minit ke-36, penyerang TFC, Ismaheel Akinade yang sebelum ini kerap dikritik peminat meledak gol kedua pasukannya selepas menyambut hantaran Ott untuk pasukannya mendahului 2-0.

Skuad pelawat yang dilihat tertekan selepas kerap diasak pemain tuan rumah sekali lagi terpaksa merelakan pintu golnya dibolosi buat kali ketiga apabila rembatan 'arkitek', Marin Pilj yang mendapat umpanan Muhammad Azam Azmi Murad menerjah jaring pada minit ke-42 untuk di depan 3-0.

Belum sempat pelawat menyusun strategi, Akinade berjaya menambah gol keempat pasukannya dan keduanya dalam perlawanan itu menerusi sepakan cantik dalam kotak penalti hasil hantaran Ott.

Ketinggalan 4-0, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee memasukkan dua tenaga baharu, Miguel Cifuentes dan Muhamad Jafri Firdaus Chew pada babak kedua bagi menggantikan Kwang Min Ko dan Darren Lok, namun masih belum mampu menjaringkan gol.

Sebaliknya berbekalkan lebih 15,000 peminat setia, skuad tuan rumah lebih kerap menyerang terutama dengan gandingan pemain gantian, Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob, Nor Hakim Hassan dan Nnabuike Chukwu, namun kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Suku akhir kedua bakal berlangsung di Stadium Likas pada 6 Julai depan bagi menentukan pasukan mana yang akan layak ke separuh akhir saingan trofi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 11:08 PM