Lim Hock San.
Lim Hock San.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tahun 2022 dilihat sebagai fasa pemulihan berikutan aktiviti ekonomi mula dibuka semula secara berperingkat ekoran daripada perintah kawalan pergerakan selama dua tahun termasuk penutupan perniagaan berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, 2022 juga adalah tahun mencabar bagi negara yang terkesan daripada kekurangan tenaga buruh, lonjakan kadar faedah dan kenaikan harga bahan mentah.

Namun begitu, LBS memuji usaha kerajaan untuk merangsang sektor hartanah dengan membantu meringankan beban pemilik rumah menerusi pelbagai inisiatif seperti Inisiatif Pemilikan Rumah Keluarga Malaysia (i-MILIKI) yang berlangsung sehingga 31 Disember 2023, dengan 100 peratus pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama dengan nilai hartanah berjumlah RM500,000 ke bawah.

Sementara itu, pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus bagi nilai hartanah yang berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS berharap Belanjawan 2023 akan menyediakan langkah rangsangan yang tepat kepada pemaju hartanah.

"Kami percaya bahawa cadangan yang dikemukakan akan menjadi pemangkin kepada penambahbaikan sektor pembangunan hartanah sejajar dengan permuafakatan persetujuan bahawa 2023 bakal menjadi tahun yang lebih baik bagi Malaysia.

"Selain itu, ini juga adalah peluang bagi pihak kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban pemilikan rumah.

"Kami menantikan langkah yang bakal diumumkan dan menyokong penuh usaha kerajaan untuk membantu lebih ramai rakyat bagi memiliki rumah idaman mereka," katanya.

Sehubungan itu, LBS berharap lebih banyak perkara dapat dilaksanakan dan turut terpanggil untuk membentangkan cadangan berikut bagi Bajet 2023 untuk membantu meningkatkan sektor hartanah yang menjurus kepada pemulihan ekonomi negara.

1. Memperkenal semula dan mengekalkan pelaksanaan tetap Kempen Pemilikan Rumah (HOC) atau rebat pemilik rumah pertama

LBS menyokong inisiatif kerajaan menerusi HOC yang diperkenalkan pada tahun 2019. Pembeli rumah pertama memperoleh manfaat pengurangan sebanyak 10 peratus daripada harga pembelian rumah dan pengecualian duti setem untuk pembelian rumah kediaman kurang daripada RM1 juta.

Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengenalan semula dan mengekalkan pelaksanaan tetap. Perumahan mampu milik akan terus mendapat permintaan dan HOC akan membantu memastikan sentimen pembelian yang berterusan.

Kerajaan juga mungkin boleh menawarkan rebat sehingga 10 peratus bagi pembeli rumah pertama sebagai galakan kepada rancangan pemilikan hartanah.

2. Memberi subsidi kepada kenaikan kos bahan mentah

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), kos pembinaan dijangka meningkat dengan nilai purata sebanyak 19 peratus tahun ini.

Pemaju dan kontraktor masing-masing berhadapan dengan tekanan kos yang semakin meningkat bagi mengekalkan keuntungan.

Harga rumah juga mengalami kenaikan kesan daripada peningkatan kos itu.

Oleh itu, kami berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi atau melaksanakan harga siling bagi bahan mentah pembinaan bagi membantu mengekalkan harga rumah mampu milik.

Kos pematuhan yang lebih rendah

Sebagai pemaju perumahan rakyat, LBS memberi tumpuan kepada segmen mampu milik di dalam projek pembangunannya. Pemaju perlu menanggung, antara lain, kos pematuhan yang timbul daripada caj pembangunan, premium penukaran tanah atau permohonan hak milik strata.

Memandangkan situasi mencabar daripada kenaikan harga bahan mentah, kami berharap kos pematuhan yang berkaitan dengan pembangunan hartanah dapat dikurangkan.

Sebarang penjimatan daripada langkah-langkah ini akan bermanfaat dan boleh disalurkan kepada pembeli rumah melalui titik harga yang lebih berpatutan.

Insentif alam sekitar yang lebih besar untuk pemaju

Dengan peningkatan kepentingan inisiatif kelestarian alam sekitar, LBS berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menyediakan geran alam sekitar kepada pemaju.

Ini akan menggalakkan pemaju industri hartanah untuk melaksanakan lebih banyak elemen kehijauan di dalam pembinaan mereka sambil mempromosikan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberikan potongan cukai tambahan supaya pemilik bangunan boleh menikmati potongan cukai pendapatan bersamaan dengan perbelanjaan modal tambahan yang perlu bagi melaksanakan inisiatif alam sekitar. Ini akan menggalakkan penggunaan tenaga dan air yang cekap di seluruh bangunan.

Pengurangan ambang minimum bagi pembelian hartanah kediaman oleh warga asing

Pada masa ini, warga asing hanya dibenarkan membeli hartanah melebihi RM1 juta.

LBS berharap kerajaan dapat menurunkan had ini kepada RM600,000 bagi semua negeri, sekali gus membolehkan pemaju mengurangkan unit sedia ada yang tidak terjual di samping menggalakkan kemasukan pemilikan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 4:27 PM