Lim
Lim
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) berharap Bajet 2022 akan menyenaraikan polisi rangsangan yang tepat bagi menambahbaik sektor pembangunan hartanah di samping menggalakkan pemilikan hartanah.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya melihat kempen pemilikan rumah (HOC) sebagai dorongan bagi pemaju hartanah untuk menjana jualan di sebalik langkah berhati-hati yang diambil oleh bakal pembeli berikutan pandemik Covid-19.

"Ketika negara mula melalui fasa pemulihan, LBS sudah menyaksikan sendiri kesan positif ke atas pasaran hartanah menerusi HOC dan berharap kerajaan akan terus mengekalkannya termasuk pengecualian duti setem bagi pembelian yang menjangkau sehingga RM1 juta pertama.

"Ini memastikan rantaian bekalan bagi industri pembinaan dan pembangunan hartanah berjalan lancar tanpa sebarang halangan ketika sentimen untuk membeli masih ada.

"LBS sentiasa menyokong Program Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kerana dilihat memberi kesan positif dalam usaha untuk menarik warga asing menetap di Malaysia dan amat mengalu-alukan pelancaran semula Program MM2H.

"LBS juga berharap supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan kelayakan pendapatan minimum bagi pemohon kepada syarat asal iaitu RM10,000 sebulan, mengurangkan jumlah minimum kecairan aset kepada RM500,000 berbanding RM1.5 juta, mengurangkan jumlah minimum deposit tetap untuk pembukaan akaun bank di Malaysia kepada RM300,000 berbanding RM1 juta dan mengekalkan tempoh MM2H selama 10 tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, menurutnya, LBS turut berharap kerajaan untuk memberi insentif bagi penggunaan Sistem Pembangunan Industri (IBS), mengurangkan kos pematuhan yang ditanggung oleh pemaju misalnya, mengurangkan caj pembangunan, premium penukaran tanah atau permohonan hak milik strata.

Selain itu, LBS berharap ambang harga semasa bagi warga asing yang ingin membeli hartanah di Malaysia dikurangkan kepada RM500,000 untuk semua negeri dan mempertimbangkan memberi pengecualian terhadap cukai pekerja asing kerana ia akan membantu mengurangkan kos pembinaan yang seterusnya akan mengurangkan kos pembangunan hartanah dan menjadikannya sebagai hartanah mampu milik.

Beliau berkata, dengan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasaran dilihat agak perlahan dan menimbulkan kebimbangan pelabur dan diharap dengan mekanisma bantuan yang tepat dari kerajaan dapat meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:10 AM