LIM Hock San
LIM Hock San

LBS Bina Group Berhad (LBS Bina) mengesyorkan kerajaan membenarkan harga ambang hartanah untuk pembeli asing untuk kediaman berharga daripada RM600,000 dilanjutkan sehingga Disember 2021.

Pengarah Urusannya Tan Sri Lim Hock San berkata, langkah ini penting bagi membantu menyelesaikan masalah unit kediaman yang tidak terjual.

Tahun lalu, melalui pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan meluluskan pengurangan nilai ambang kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar dikurangkan daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Namun, ia hanya terpakai kepada unit sedia ada yang masih tidak terjual dan berkuatkuasa dari 1 Januari hingga 31 Disember 2020 saja.

Langkah berkenaan dilaksanakan bagi membantu mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku 2019.

Selain itu, menurutnya pihaknya juga menyarankan kerajaan memperkenalkan kadar faedah yang rendah khusus untuk pinjaman perumahan terhad selama tiga tahun bagi membolehkan lebih ramai pembeli rumah memperoleh pinjaman perumahan.

"Langkah ini penting kerana ia dapat meringankan beban pembeli dan merancakkan sektor hartanah negara.

"Selain itu, kami juga mengusulkan untuk memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah 2 (HOC2) dengan skala lebih besar.

"Insentif di bawah HOC akan mengurangkan beban pembeli rumah dengan ketara, seperti pemberian duti setem percuma untuk pinjaman dan Memorandum Pemindahan (MoT)," katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Katanya, bagi mengatasi masalah kelayakan pinjaman, LBS berpendapat bahawa kerajaan juga harus melonggarkan garis panduan pinjaman untuk pembiayaan akhir dan Nisbah Khidmat Hutang (DSR) yang lebih tinggi.

"Melalui kaedah ini, lebih ramai individu layak untuk memiliki kediaman khususnya mereka yang pertama kali merancang mendapatkan kediaman sendiri," katanya.

Menurutnya, untuk meningkatkan pertumbuhan pasaran hartanah sekunder, LBS mengesyorkan kerajaan untuk menghapuskan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang dikenakan ke atas keuntungan yang diperoleh daripada penjualan hartanah.

"Langkah ini akan menggalakkan penambahbaikan rumah dan meningkatkan kepercayaan pembeli hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 7:10 AM