LIM Hock San
LIM Hock San
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) berharap kerajaan dapat mempertimbang semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) serta beberapa langkah tambahan kepada bakal pemilik rumah menerusi pengumuman Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat depan.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS berharap Belanjawan 2023 akan memberikan suatu anjakan paradigma baharu di samping melihat peningkatan dalam sentimen hartanah menerusi pakej rangsangan yang tepat.

Katanya, Belanjawan 2023 adalah peluang kerajaan untuk membantu memulih serta meringankan beban rakyat, termasuk pemilikan rumah.

"Pembentukan Kerajaan Perpaduan dilihat mampu mewujudkan persekitaran yang stabil sekali gus menarik lebih ramai pelabur, memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.

"LBS berharap kerajaan dapat memberikan komitmen di dalam memastikan penyediaan perumahan yang mencukupi, berkualiti serta mampu milik supaya pelbagai segmen masyarakat dapat memiliki rumah idaman mereka," katanya.

Beliau berkata, selain pengenalan semula HOC, LBS turut berharap supaya kerajaan dapat membantu menangani pengurangan kos pembiayaan di mana kenaikan kadar faedah di sepanjang 2022 dan ia boleh dilihat pada peringkat global.

Katanya, situasi itu mengakibatkan peningkatan harga hartanah, dan kadar faedah gadai janji dijangka terus meningkat pada 2023.

Justeru, bagi membantu pemilikan rumah terutamanya untuk mereka yang berpendapatan isi rumah rendah, LBS mencadangkan kerajaan memperkenal kos pembiayaan gadai janji yang lebih rendah, atau menawarkan rebat sehingga 10 peratus kepada pembeli kali pertama untuk memastikan sentimen pembelian terus kekal.

Selain itu, menerusi peningkatan kepentingan pekerja asing, LBS berharap kerajaan dapat melaksanakan pelan terbaharu untuk membenarkan kemasukan 500,000 orang pekerja asing dari 15 negara pada 2023 bagi mengatasi masalah kekurangan buruh dalam pelbagai sektor, khususnya sektor pembinaan.

Menurutnya, dianggarkan 700,000 pekerja asing meninggalkan Malaysia akibat Covid-19.

"Oleh itu, kami percaya bahawa bilangan pekerja asing yang diperlukan untuk menangani isu ini adalah tinggi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan dengan lancar.

"Berdasarkan kepada sasaran jualan 2023 sebanyak RM2 bilion, kami optimis bahawa kerajaan akan mengumumkan inisiatif yang akan memberikan rangsangan tambahan kepada LBS untuk kekal fokus di dalam menyediakan projek perumahan.

"Kami berharap dapat melihat pemulihan pasaran hartanah yang lebih kukuh tahun ini," katanya.

LBS gembira kerana Malaysia berjaya mencapai kestabilan politik serta optimis ke arah pengukuhan ekonomi negara dan meningkatkan keyakinan pelabur.

Menurut Kementerian Kewangan, ekonomi negara dijangka berkembang di antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2023.

Sebagai pemaju perumahan rakyat, LBS terus komited ke arah matlamatnya bagi menyediakan perumahan mampu milik dan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 2:51 PM