Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) merangka beberapa saranan yang dianggap penting untuk memacu sektor hartanah dan berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan saranan ini sebagai suatu sumbangan yang bernilai dalam merancakkan sektor hartanah.

Bagi mengurangkan tekanan kewangan kepada rakyat, terutamanya mereka yang berhasrat untuk memiliki kediaman pertama, LBS mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula beberapa langkah tambahan.

"Secara khususnya, kami menyarankan pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC). Keberkesanan HOC telah terbukti sewaktu pelaksanaannya pada tahun 2019 hingga 2021.

"Oleh itu, dengan pengenalan semula kempen ini dijangka merangsang permintaan daripada bakal pembeli, menggalakkan pemilikan rumah dan membantu memberikan lebih banyak pilihan mengikut kemampuan bakal pembeli," kata syarikat berkenaan dalam kenyataan.

Selain itu, menurutnya, kerajaan juga seharusnya mempertimbangkan untuk menyediakan insentif atau subsidi khas bagi pemaju yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

"Ini kerana sistem ini dapat membantu mengurangkan kos pembinaan dan menjadikan perumahan lebih mampu milik.

"Insentif jangka pendek ini akan membuka jalan kepada penggunaan sistem konkrit pratuang secara lebih meluas di dalam sektor hartanah.

"Matlamat utamanya adalah untuk mencapai kecekapan pembinaan yang lebih tinggi, pengurangan kos dan kemampanan sekaligus mengekal atau meningkatkan kualiti pembinaan secara keseluruhannya," katanya.

Menurut LBS, dengan peningkatan kesedaran global terhadap pembangunan yang mampan dan hijau, kos untuk mereka bentuk, membangunkan pembangunan mampan dan neutral karbon boleh menjadi kos tambahan kepada pemaju tempatan, malahan lebih tinggi berbanding pembangunan konvensional.

"Kerajaan seharusnya mengambil langkah untuk menyokong dan meningkatkan pembangunan hijau dan mempertimbang untuk menyediakan geran khas kepada pemaju bagi menggalakkan pemain industri untuk mengintegrasikan kehijauan di dalam setiap projek pembangunan mereka, contohnya penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, menerusi komitmen LBS sebagai pemaju perumahan rakyat, ia mengutamakan harga mampu milik dalam kesemua projeknya.

Namun, perbelanjaan yang berkait dengan pematuhan, seperti caj pembangunan, premium penukaran tanah, atau yuran penukaran hak milik strata saban hari semakin meningkat.

"Oleh yang demikian, pihak pemaju dan kontraktor terpaksa membayar kos ini dengan menaikkan harga hartanah.

"Berdasarkan iklim ekonomi semasa, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan had atau mengurangkan kos pematuhan berkaitan pembangunan hartanah," katanya.

LBS berkata, pembinaan perbandaran yang mampan merupakan suatu matlamat utama bagi rata-rata kerajaan di peringkat global kerana ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk untuk jangka masa panjang.

"Oleh itu, kami menyarankan agar kerajaan memberikan galakan insentif kepada pemaju agar mereka dapat menggabungkan teknologi moden ke dalam pembinaan projek seperti sistem cekap tenaga, grid pintar, solusi pengurusan sisa pepejal serta kecerdasan pengurusan trafik yang sistematik," katanya.

Mengulas senarai saranan ini, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, pihaknya berharap Belanjawan 2024 akan membawa perubahan ketara dan mempengaruhi sentimen secara positif dalam pasaran hartanah melalui pengenalan pakej rangsangan.

"Belanjawan ini memberi peluang kepada kerajaan untuk membantu rakyat dalam menangani cabaran semasa, khususnya cabaran berkaitan pemilikan rumah.

"Pembentukan kerajaan perpaduan diharap dapat mewujudkan persekitaran yang berupaya menarik lebih ramai pelabur, memupuk pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan kesejahteraan negara.

"Kami berharap agar kerajaan dapat memberikan komitmen dalam memastikan rakyat mempunyai pilihan perumahan yang mencukupi, berkualiti tinggi dan mampu milik agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah," katanya.

Menurutnya, berdasarkan sasaran jualan 2023 sebanyak RM2 bilion, pihaknya optimis kerajaan akan mengumumkan inisiatif yang akan terus menyokong projek yang sedang berjalan.

"Kami mengalu-alukan sebarang langkah kerajaan untuk memperkenalkan insentif pemulihan yang kukuh dalam pasaran hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 12:28 PM