PEMILIK jenama dan pengendali rantaian Kedai Ayamas dan Ayamas Roaster Express, Kara Holdings Sdn Bhd (KHSB) membuka cawangan keempat di SummerSkye Residence di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Eksekutif Kedai Ayamas Abd Rahman Md Dawi berkata, lokasi itu dipilih berikutan kedudukannya yang strategik, santai dan menarik.

Lokasi berkenaan juga memberi keselesaan kepada pelanggan bagi berbelanja dan menjamu selera bersama keluarga serta kenalan dalam suasana ceria dan menyeronokkan.

"Sempena pembukaan cawangan ini, turut dilancarkan dua menu baharu yang menggabungkan cita rasa Korea-Jepun iaitu Mixed Seafood Oden dan Chicken Strips Rice Bowl serta terdapat di semua rangkaian.

"Meskipun banyak variasi Oden, namun Mixed Seafood Oden ada kelainannya dengan aroma dan rasa menepati selera tempatan kerana dihidangkan dengan pelbagai bebola makanan laut.

"Chicken Strips Rice Bowl adalah gabungan istimewa Roaster Rice bersama Chicken Strips yang digoreng rangup dan disaluti sos berperisa pedas Korea serta taburan bijan, mencetuskan rasa unik dan enak bagi dinikmati seisi keluarga," katanya dalam ucapan pembukaan Kedai Ayamas Bayan Lepas.

Hadir sama, Pengerusi KHSB Mohd Faris Adli Syukery.

Abd Rahman berkata, pada masa ini pihaknya mempertimbangkan bagi membuka cawangan seterusnya di Bertam atau Pulau Tikus, di sini.

Sementara itu, Mohd Faris Adli berkata, pihaknya yakin kedua-dua menu berkenaan menjadi pilihan pelanggan Kedai Ayamas kerana keenakan dan keunikan cita rasa di samping harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 7:10 AM