KAKITANGAN Kedai Ayamas menyerahkan sumbangan Nasi Ayam Panggang kepada petugas PPV.
KAKITANGAN Kedai Ayamas menyerahkan sumbangan Nasi Ayam Panggang kepada petugas PPV.

Kuala Lumpur: Sempena Hari Kemerdekaan, Kedai Ayamas menyampaikan sumbangan sebanyak 150 set Nasi Ayam Panggang kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, baru-baru ini.

Pemberian sumbangan ini adalah sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada barisan hadapan khususnya petugas di PPV.

Kedai Ayamas dalam kenyataan berkata, sejajar dengan tema sambutan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, Kedai Ayamas berharap sumbangan ini dapat memberi semangat dan kekuatan moral kepada petugas barisan hadapan untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat.

"Terima kasih diucapkan kepada semua petugas yang sudah bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran proses pemberian vaksin di seluruh Malaysia.

"Kedai Ayamas komited untuk membantu segenap masyarakat dalam semangat Malaysia Prihatin. Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-64 buat Malaysia tercinta.

"Marilah kita sama-sama berganding bahu menyemarakkan ikatan perpaduan sesama kita. Semoga negara kita segera bebas daripada wabak Covid-19 yang melanda negara," katanya.

Kini terdapat 68 Kedai Ayamas/Ayamas Roaster Express di Semenanjung Malaysia.

Pihak syarikat Ayamas Shoppe Sdn Bhd juga merancang untuk membuka lebih banyak cawangan dalam tempoh tiga tahun melalui program francais Kedai Ayamas.

Ayamas Shoppe Sdn Bhd adalah pemilik jenama dan pengendali cawangan Kedai Ayamas dan Ayamas Roaster Express.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 8:50 AM