NG Kong Boon
NG Kong Boon

HAMPIR tujuh daripada sepuluh rakyat Malaysia tidak sabar-sabar untuk melancong di dalam negara, menurut tinjauan Visa Voice of the Consumer.

Visa, pemimpin dunia dalam pembayaran digital mendedahkan bahawa hampir hampir separuh (40 peratus) daripada mereka sedang merancang untuk melancong ke luar negara bagi tujuan riadah menjelang pertengahan tahun depan.

Tinjauan juga mendapati bahawa tiga pertimbangan utama bagi pelancong Malaysia yang ingin melepaskan gian melancong termasuk mendapatkan vaksin (66 peratus), kestabilan situasi Covid-19 di destinasi pelancongan (66 peratus) dan pengurangan kes jangkitan Covid-19 global (56 peratus).

Pengurus Negara bagi Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, walaupun sempadan negeri dan negara mula dibuka untuk pelancongan, keselamatan peribadi tetap diutamakan pengguna.

"Syarikat perniagaan, sama ada hotel, restoran, syarikat pengangkutan atau rekreasi mesti terus bingkas menangani sekatan dan mencegah gelombang jangkitan masa depan.

"Antara aktiviti yang tetap perlu dilakukan oleh semua pengembara tidak kira di mana destinasi mereka ialah membuat bayaran.

"Ini bermakna pembayaran digital akan memainkan peranan penting merangsang pemulihan perniagaan dan mengehadkan sentuhan fizikal dan penyebaran jangkitan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Tinjauan ini dikendalikan oleh Green Shoots Radar bagi Visa pada Jun lalu di 14 negara iaitu China, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Korea, Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, India, Australia, dan New Zealand.

Jumlah saiz sampel ialah 2,200 termasuk pengguna di Thailand berusia 18 tahun dan ke atas, meliputi semua kumpulan pendidikan dengan pendapatan isi rumah bulanan minimum yang ditetapkan (berbeza mengikut negara).

Menurutnya, pelancong di serata Asia Pasifik juga menggunakan pendekatan berbeza untuk melancong berbanding zaman sebelum pandemik.

"Dua daripada lima responden (42 peratus) bercadang untuk mengelakkan tempat pelancongan penuh sesak manakala 44 peratus bercadang membawa lebih banyak kad atau menggunakan telefon mudah alih untuk membayar, mengelakkan diri daripada mengunjungi pengurup wang dan menyentuh tunai.

"Lebih separuh (53 peratus) akan meluangkan lebih masa untuk menempah penginapan yang selamat dengan kualiti yang terjamin," katanya.

Katanya, dari segi destinasi perjalanan luar negara yang menjadi pilihan, sebahagian besar daripada pelancong Malaysia mahu mengunjungi China, Australia, dan Jepun, disusuli oleh negara jiran - Thailand dan Singapura.

Apabila ditanya kesanggupan mereka untuk mengembara, hanya tiga daripada sepuluh rakyat Malaysia berkata mereka tidak berkenan dengan pendekatan gelembung perjalanan.

Lebih daripada separuh (54 peratus) menyatakan minat mengembara di dalam gelembung perjalanan, tetapi bukan dalam tempoh terdekat manakala 16 peratus mahu melancong secepat mungkin apabila gelembung perjalanan dilaksanakan.

"Ketika pandemik, kaedah pembayaran tanpa sentuhan mencatatkan pertumbuhan ketara kerana kelebihannya dari segi kelajuan, kepantasan dan keselamatan," katanya.

"Kami percaya amalan pembayaran tanpa tunai akan terus menjadi kelaziman dalam era selepas pandemik kerana kaedah tanpa sentuhan dijangka kekal sebagai pilihan pertama bagi urus niaga bersemuka. Syarikat perniagaan hendaklah terus memenuhi kehendak pengguna sambil industri pelancongan kembali pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 6:05 AM