GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Sebahagian besar pelancong di Langkawi cenderung membuat tempahan tiket pengangkutan, penginapan dan tiket lawatan secara persendirian.

Maklumat itu diperolehi hasil pemantauan dan kaji selidik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selama tiga hari bermula 1 Oktober lalu.

MOTAC mendapati terdapat pelancong yang menggunakan khidmat pengusaha pelancongan yang tidak berlesen dan tidak berdaftar dengan MOTAC.

"Hasil soal selidik mendapati kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan berpuas hati terhadap khidmat pengusaha pelancongan yang disediakan di sepanjang percutian mereka," menurut MOTAC tadi.

MOTAC dalam kenyataan itu menyeru orang ramai menggunakan perkhidmatan pengusaha pelancongan berlesen dan berdaftar dengan MOTAC serta menasihati pengusaha tidak berlesen memohon lesen dengan MOTAC bagi mengelakkan dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Menurut MOTAC, aktiviti pemantauan yang dijalankan adalah untuk menyampaikan mesej kepada penggiat industri pelancongan bahawa MOTAC sentiasa memberi penekanan terhadap aspek penguatkuasaan serta pematuhan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dari semasa ke semasa.

Fokus pemantauan adalah untuk melihat sejauh mana syarikat pengendalian pelancongan dan perniagaan agensi pengembaraan (TOBTAB) patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di samping mendapatkan reaksi orang ramai yang melancong dalam suasana norma baharu.

Antara lokasi yang dijalankan pemantauan adalah sekitar Kilim Geoforest Park, Tanjung Rhu, Langkawi SkyCab, Taman Hidupan Liar Langkawi, Pantai Cenang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Terminal Jeti Kuah.

"Pelaksanaan aktiviti pemantauan SOP ini bertujuan untuk memastikan Keluarga Malaysia dapat melancong ke Langkawi dengan selamat dan secara tidak langsung boleh membantu dalam menjana semula pendapatan negara melalui aktiviti pelancongan domestik," katanya.

Kejayaan Gelembung Pelancongan Langkawi itu juga boleh dijadikan penanda aras untuk membolehkan destinasi pelancongan lain mengadaptasi SOP dan kaedah pengurusan yang baik setelah negara mencapai kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa sebanyak 90 peratus.

Menurut MOTAC, seramai 400,000 pelancong disasarkan berkunjung ke Langkawi hingga Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:02 PM