MASYARAKAT Malaysia mungkin lebih peka pada kesihatan dalam aktiviti bersantai selepas wabak Covid-19 pulih.
MASYARAKAT Malaysia mungkin lebih peka pada kesihatan dalam aktiviti bersantai selepas wabak Covid-19 pulih.
Hafiz Ithnin

SEJAK menularnya pandemik Covid-19 pada penghujung Disember tahun lalu, nampaknya industri pelancongan dunia termasuk Malaysia antara yang paling terjejas kerana si pengembara, tidak kira individu yang kerap atau bermusim melakukan aktiviti itu terpaksa 'menggantung' beg galas atau beg tarik.

Ia berikutan penularan pandemik itu bukan sesuatu yang mudah dijangka kerana boleh didapati di mana-mana sahaja.

Sehingga kini, angka mereka yang positif melebihi empat juta orang di seluruh dunia.

Apatah lagi, terdapat negara yang mula mengunci pintu masuk mereka daripada dikunjungi pelancong asing termasuk Malaysia yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kajian yang dilakukan Organisasi Pelancongan Dunia (UNWTO) iaitu organisasi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (BPP) pada suku pertama 2020 menunjukkan kemuncupan 22 peratus kedatangan pelancong antarabangsa atau 67 juta pelancong berbanding tempoh sama tahun lalu.

Malah, pada Mac lalu sahaja ia merekodkan kejatuhan 57 peratus berikutan banyak negara menyekat kemasukan pelancong asing.

Dari segi rantau, Asia dan Pasifik menduduki tangga utama terjejas industri pelancongan yang menunjukkan penurunan 35 peratus kedatangan pelancong diikuti Eropah, 19 peratus.

Malah, sepatutnya Malaysia yang mula mengalu-alukan kehadiran pelancong pada tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 juga terpaksa membatalkan kempen berkenaan kerana kesihatan rakyat lebih diutamakan.

NORMAL baharu yang perlu diamalkan pengembara selepas PKP yang dijangka amat menitik beratkan kebersihan.
NORMAL baharu yang perlu diamalkan pengembara selepas PKP yang dijangka amat menitik beratkan kebersihan.

Ia bukan sekadar pelancong asing, malah aktiviti pelancongan domestik juga terpaksa 'didiamkan' pada masa ini.

Baru-baru ini agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Malaysia mengadakan satu tinjauan membabitkan 13,797 individu di negara ini untuk mengetahui persepsi mereka mengenai pelancongan domestik selepas PKP, 'Survey On Domestic Travel In Malaysia After MCO'.

Menariknya, di dalam tinjauan itu dalam segmen persepsi menunjukkan 50.9 peratus responden mempercayai selepas PKP melancong dalam negara lebih selamat, 84.2 peratus mempercayai Covid-19 mempengaruhi sikap mereka untuk mengembara dan 71.3 peratus memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan berbanding ke luar negara.

Malah, dalam tinjauan itu juga mendapati 30.7 peratus individu dalam kajian ingin bercuti antara enam bulan sehingga setahun, diikuti 22.8 peratus (dua hingga enam bulan) dan 22.6 peratus kurang dari dua minggu.

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pandemik Covid-19 banyak mengajar rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan berbeza dari sebelum ini.

Beliau berkata, amalan normal baharu menjadikan mereka yang gemar dan ingin melancong semula, untuk lebih berhati-hati.

RESPONDEN lebih memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.
RESPONDEN lebih memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.

"Sejak PKP dilaksanakan dan sebagai rakyat yang akur, mereka sudah sebati dengan keadaan ini dan merasa lebih selamat sepanjang berada dalam rumah.

"Namun apabila tiba masanya keadaan sudah terbuka untuk melancong, maka mereka akan meletakkan keselamatan dan kesihatan sebagai keutamaan," katanya kepada Harian Metro ketika mengulas mengenai tinjauan yang dilakukan secara atas talian antara 7 hingga 13 April lalu.

Jelasnya, selain dari tempat yang selamat, faktor kebersihan juga diambil kira.

Oleh itu, setiap tempat yang dilawati perlu mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk keluar melancong.

"Berdasarkan kajian atas talian oleh Tourism Malaysia, satu normal baharu turut dikenal pasti di mana pelancong domestik lebih gemar melancong dalam kumpulan yang lebih kecil sama ada bersendirian, mahupun dengan pasangan atau keluarga.

"Mereka tidak akan mahu melancong dalam kumpulan yang ramai. Selain itu, mereka juga akan memilih untuk tinggal di hotel atau resort yang dapat memberi keyakinan terutama dari aspek pemeliharaan kebersihan mengikut prosedur ditetapkan.

"Saya melihat bahawa keselamatan dan kebersihan yang diamalkan sejak PKP dan PKPB secara tidak langsung bukan sahaja melatih kita lebih disiplin, bahkan ia menjadi amalan berterusan dan menjadi budaya yang lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Menteri itu menambah, daripada kajian yang dijalankan dapat dirumuskan bahawa ia adalah indikator untuk dirujuk oleh pengusaha restoran, pengusaha tempat tumpuan orang ramai dan tempat penginapan serta kenderaan awam.

PEMAIN perkhidmatan dalam industri pelancongan seperti pengangkutan awam perlu mempunyai SOP.
PEMAIN perkhidmatan dalam industri pelancongan seperti pengangkutan awam perlu mempunyai SOP.

"Semua tempat perlu mematuhi SOP dan arahan PKP. Dengan pematuhan itu pelancong akan mula yakin untuk melancong.

"Kami mahu pelancong domestik kembali melancong dengan selamat dalam Malaysia apabila tiba masanya nanti, sekali gus dapat memberi keyakinan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia adalah destinasi pelancongan yang selamat dan bersih untuk dilawati," katanya.

Dalam tinjuan itu turut menyediakan segmen pandangan faktor yang menarik perhatian mereka untuk melancong dalam negara.

Menerusinya, 76.8 peratus memilih pulau dan pantai, kepelbagaian sajian makanan 72.2 peratus dan 67.8 peratus merasakan ia lebih berbaloi untuk dibelanjakan.

Maka, selepas PKP ini apa kata memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan anda kerana ia bukan sahaja dapat memastikan anda selamat berikutan negara ini mempunyai ekosistem penjagaan kesihatan antara yang terbaik di dunia dalam menangani pandemik ini.

Pada masa sama membantu meningkatkan penggunaan domestik dan paling utama anda lebih tahu tahap keprihatinan masyarakat setempat dalam isu virus ini. Hujan emas di negeri sendiri!

MASYARAKAT setempat mungkin lebih peka mengenai kesihatan dalam aktiviti bersantai selepas berlaku pandemik Covid-19.
MASYARAKAT setempat mungkin lebih peka mengenai kesihatan dalam aktiviti bersantai selepas berlaku pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 7:00 AM