Suasana di KLIA menjelang sempadan negara dibuka susulan Fasa Peralihan Endemik yang akan bermula esok. Foto Hairul Anuar Rahim
Suasana di KLIA menjelang sempadan negara dibuka susulan Fasa Peralihan Endemik yang akan bermula esok. Foto Hairul Anuar Rahim
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menjangkakan lebih 1,000 pelancong asing akan memasuki Malaysia esok, susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini diumumkan selepas menghadapi sekatan pergerakan Covid-19 selama dua tahun.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebelum pandemik, Malaysia menerima ketibaan 26.1 juta pengunjung yang membelanjakan sejumlah RM86.1 bilion pada 2019.

Menurutnya, tiga kategori perbelanjaan utama itu termasuk beli-belah, penginapan dan makanan dan minuman yang merangkumi RM61 bilion daripada jumlah hasil pelancongan bagi 2019.

"Kami menyasarkan kedatangan dua juta pelancong ke Malaysia bagi keseluruhan tahun ini dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion dan untuk esok sahaja lebih 1,000 pelancong asing dijangka akan memasuki Malaysia.

"Industri pelancongan amat teruja dan menerima baik pengumuman pembukaan semula sempadan, yang bakal merangsang pemulihan ekonomi.

"Kami akan memulakan aktiviti promosi untuk menaikkan nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dan bersedia menerima kehadiran pelancong serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan kesihatan dan keselamatan awam," katanya pada sidang media di majlis jalinan kerjasama antara Visa dan Tourism Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon.

Visa, sebagai peneraju dalam pembayaran digital, menjalin kerjasama jangka panjang dengan Tourism Malaysia untuk menyokong usaha Motac menggalakkan ketibaan pelancong dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan apabila sempadan Malaysia dibuka semula esok.

Selain itu, Visa turut memperkenalkan Program Peniaga Pilihan Visa (VPM), yang membolehkan pemegang kad Visa memanfaatkan tawaran eksklusif bagi penginapan, menjamu selera, membeli-belah, hiburan dan perubatan.

Program VPM akan disediakan untuk pelancong domestik dan antarabangsa semasa musim kembara pelancongan yang tertentu menerusi laman web malaysia.travel dan visa.com.my.

Tourism Malaysia pula berperanan untuk menggalakkan pelancong antarabangsa melancong ke Malaysia dan berbelanja sambil menikmati pengalaman membeli-belah yang pelbagai di seluruh negara.

Sementara itu, Ng berkata melalui kerjasama ini, Tourism Malaysia dan Visa akan melancarkan kempen kolaboratif pelancongan domestik untuk mempromosikan pelancongan domestik yang sejajar di bawah Pelan Strategik Tourism Malaysia 2022 hingga 2026.

Menurutnya, Visa juga akan berkongsi hasil analisis data dan maklumat terperinci dengan Tourism Malaysia untuk memahami pilihan pelancong apabila mengunjungi Malaysia.

"Menurut Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa yang terbaharu, pengguna menjangkakan pemulihan pelancongan sambil Malaysia mula beralih ke fasa endemik.

"Hasil kajian mendapati hampir enam daripada 10 rakyat Malaysia yakin mereka akan melancong di dalam negara.

"Sebanyak 20 peratus pengguna Asia Tenggara juga berkata mereka tidak sabar untuk berbelanja bagi melancong ke peringkat antarabangsa, iaitu ke destinasi selamat dari segi Covid-19 terutamanya penduduk Singapura (40 peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 5:45 PM