Rasyad bersama wakil syarikat Turki sejurus selesai menandatangani MoU.
Rasyad bersama wakil syarikat Turki sejurus selesai menandatangani MoU.

Kuala Lumpur: MA Analytics Sdn Bhd (MA Analytics) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat dari Turki bertujuan untuk bekerjasama dalam memajukan industri pertahanan negara ketika Pameran International Defence Industry (IDEF 2021) di Tuyap Fair, Turki baru-baru ini.

Tiga syarikat pertahanan dari Turki itu terdiri daripada Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE), Katmerciler danIVEO Defence.

MA Analytics adalah syarikat tempatan yang terbabit dalam bidang pertahanan, tenaga dan telekomunikasi.

Ia ditubuhkan hasil gabungan beberapa profesional muda dan inovatif di dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan perakaunan dengan misi untuk menawarkan peralatan serta perkhidmatan berkualiti kepada agensi pertahanan dan awam di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MA Analytics, Rasyad Anwar berkata, MoU adalah langkah awal membabitkan kerjasama antara syarikat-syarikat berkenaan berhubung sistem persenjataan, artileri dan kereta perisai.

Ia juga akan membabitkan kerjasama di dalam mereka cipta, pembinaan dan pembekalan alatan persenjataan, artileri dan kereta perisai di Malaysia.

"Syarikat dari Turki akan memberikan bantuan teknikal dan perundingan, pembekalan bahan dokumentasi, teknologi, lesen, "know-how" dan peralatan, pembaikan, modernisasi dan bantuan selepas jualan kepada Malaysia dan juga usaha sama di dalam bidang-bidang lain mengikut perundangan kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena pemeteraian MoU tersebut yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MKE, Yasin Akdere, Timbalan Pengerusi Katmerciler, Mehmet Katmerci dan Ketua Pegawai Eksekutif IVEO Defence, Gokhan Erturan.

Selain itu, Rasyad menjelaskan, walaupun dunia mengalami masalah ekonomi akibat Covid-19 tetapi Turki masih melihat Malaysia sebagai rakan kongsi yang penting malah, kerjasama pertahanan ini menunjukkan keyakinan Turki terhadap Malaysia.

Tambah beliau, Turki terkenal sebagai negara yang sudi berkongsi pengetahuan dan teknologi menerusi program "Transfer of Technology" (ToT) setiap kali pembelian aset ketenteraan dijalankan.

"Menerusi kerjasama ini, kebergantungan terhadap negara luar dapat dikurangkan menerusi pelbagai kursus yang bakal dilaksanakan.

Di samping itu, peluang pekerjaan dapat ditingkatkan terutamanya kepada veteran tentera.

"Kami juga sedang merancang menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan beberapa syarikat berkaitan dengan kerajaan agar manfaat daripada MoU ini bakal memberikan impak secara maksimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 12:25 AM