Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan sebuah syarikat pembekalan dianugerahkan tender perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) membabitkan peruntukan RM854 juta.

Beliau berkata, proses perolehan meriam SPH itu masih berjalan dan tiada syarikat pembekalan sudah dianugerahkan tender berkenaan.

Katanya, rundingan antara Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Kewangan (MOF) juga sedang berjalan.

"Sebenarnya proses perolehan SPH masih berjalan dan pendedahan yang keluar itu mungkin cuba nak menimbulkan kekeruhan atau keraguan.

"Maklumlah dalam landskap politik hari ini macam-macam benda nak diluahkan, jadi minta semua supaya rasional dan benarkan proses (perolehan) berjalan seperti biasa," katanya dalam sidang media selepas Lawatan Kerja ke Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa tender perolehan SPH untuk kegunaan TDM dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pembekalan yang baru dua tahun ditubuhkan dan bukan menerusi tender terhad.

Rafizi mendakwa arahan dikeluarkan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan supaya rundingan terus dengan syarikat MA Analytic Sdn Bhd yang tiada pengalaman dalam bidang berkenaan.

SPH ialah meriam artileri yang digunakan oleh TDM dan diukur antaranya daripada segi keupayaan jarak tembakan dan keperluan mobilisasi atau pengangkutan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, keputusan syarikat mana yang mendapat tender itu akan dibuat selepas proses rundingan dengan MOF selesai.

"Proses untuk dianugerahkan tender ini juga banyak berkisar kepada pelbagai agensi dan bukannya Mindef saja.

"Setakat ini, kita juga akan berbincang seperti biasa dengan MOF dan selagi tender ini belum ditentukan, saya rasa kenapa kita nak war-warkan sesuatu yang belum diberikan atau diputuskan," katanya.

Ditanya tujuan pendedahan itu dibuat, beliau tidak menolak kemungkinan disebabkan politik dan memberitahu tiada sebab untuk pihaknya merahsiakan perkara itu namun proses perolehan masih belum diputuskan.

Namun katanya, sekiranya situasi itu berterusan terutama membabitkan kerahsiaan kerajaan dan tahap kesiapsiagaan ketenteraan dibimbangi memberi kesan buruk kepada keselamatan dan pertahanan negara.

 Hishammuddin Hussein melawat pameran statik persenjataan dan peralatan khas ketika lawatan kerja Menteri Kanan Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi. FOTO ASWADI ALIAS
Hishammuddin Hussein melawat pameran statik persenjataan dan peralatan khas ketika lawatan kerja Menteri Kanan Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi. FOTO ASWADI ALIAS

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 4:28 PM