AV CONDOR yang diperbaharui turut dipamerkan.
AV CONDOR yang diperbaharui turut dipamerkan.
ANTARA rangkaian produk SAAB yang dipamerkan.
ANTARA rangkaian produk SAAB yang dipamerkan.
KENDERAAN perisai lengkap dengan senjata ‘AV 4 Lipanbara’ bakal dihantar ke pangkalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Julai depan.
KENDERAAN perisai lengkap dengan senjata ‘AV 4 Lipanbara’ bakal dihantar ke pangkalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Julai depan.
PROTOTAIP kereta perisai jenis AV 4 direka untuk Polis Diraja Malaysia.
PROTOTAIP kereta perisai jenis AV 4 direka untuk Polis Diraja Malaysia.
PENGUNJUNG mengambil peluang bergambar dengan kenderaan perisai di DSA 2016.
PENGUNJUNG mengambil peluang bergambar dengan kenderaan perisai di DSA 2016.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Latihan ketenteraan dan keselamatan menjadi keutamaan dalam apa juga situasi.

Menyedari kepentingan itu, firma pertahanan dan keselamatan berpangkalan di Sweden, SAAB (SAAB) membawakan rangkaian sistem terkini merangkumi bidang keselamatan udara, air, darat dan pantai pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

SAAB turut mengetengahkan peralatan dan latihan fideliti tinggi kelas dunia yang turut digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain memaparkan pelbagai portfolio produk, pemindahan teknologi dan keberkesanan produk.

Peralatan dan sistem yang disediakan memberi pengalaman realisitik kepada anggota tentera seperti berada dalam situasi sebenar bagi membolehkan mereka merasai suasana sebenar.

Firma itu turut menarik pengunjung dengan mempamerkan sistem senjata antiarmor terbaru, Carl-Gustaf M4 dan Bom Lancaran Darat Berdiameter Kecil (GLSDB) buat kali pertama di Malaysia.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Pemasaran SAAB Asia Pasifik Mikael Olsson berkata, Carl-Gustaf M4 yang diperbaharui dengan teknologi terkini adalah sekali ganda ringan berbanding Carl-Gustaf M2 yang dimiliki ATM.

“Berbanding Carl-Gustaf M2 yang beratnya lebih 14 kilogram, versi terbaru ini hanya tujuh kilogram.

“Carl-Gustaf M4 senjata yang memanfaatkan inovasi terkini secara serentak sesuai dengan masa depan dan menyediakan laluan bagi integrasi teknologi masa depan,” katanya.

“Ia versi terkini sistem senjata dengan pelbagai peranan dan pelancar bahu mudah alih,” katanya.

Kata Olsson, senjata berkenaan turut memberikan pilihan serangan dengan memastikan anggota tentera kekal tangkas dan efektif dalam sebarang situasi.

“Ia dibina berdasarkan keupayaan sistem yang lebih baik dan menawarkan peningkatan kejituan, binaan lebih ringan dan keserasian dengan inovasi masa depan,” katanya.

Selain Carl-Gustaf M4, GLSDB adalah solusi serangan jitu jarak jauh yang dapat mempertingkatkan keupayaan angkatan tentera.

“Pada awal tahun 2015, SAAB dan Boeing menjalankan ujian terhadap GLSDB dengan mengintegrasikan senjata pelancar udara SDB 1 bersama motor roket darat M26 (daripada Sistem Pelancar Roket Berganda). Kami berjaya menghasilkan kelas baru dalam sistem serangan jitu.

“Ujian tembak yang dijalankan menunjukkan bom berkenaan mampu bertahan terhadap pelancaran roket artileri tanpa menjejaskan prestasi penerbangannya.

“Ia begitu efektif dan tepat dari jarak jauh selain berupaya terbang pada trajektori kompleks dan dikendalikan untuk menyerang sasaran yang tidak boleh didekati menerusi senjata konvensional,” katanya.

Selain Carl-Gustaf M4 dan GLSDB, rangkaian produk lain yang dipamerkan SAAB ialah Carl-Gustaf M3, Gripen, RBS15, siri AT4, Double-eagle, AUV62MR, MAPAM, MCS, Tacticall, CBRN, AWR, A-ISR, SAVIT, 9LV, EOS, Radars, LEDS dan IDAS.

Turut menarik perhatian, simulator pesawat tempur Gripen turut disediakan bagi memberi pengalaman kepada pengunjung merasai suasana getir berada dalam pesawat itu.

Penulis turut diberi peluang memasuki ruang simulator itu dan keadaan di dalamnya bukan saja mendebarkan, malah agak pening kerana pertama kali berada dalam ‘pesawat’ berkenaan.

Selain SAAB, syarikat Airbus, BAE Systems, Bell Helicopter, Boeing, Finmeccanica, MBDA, Roxoboronexport, dan Thales turut mempamerkan kecanggihan teknologi masing-masing pada pameran berkenaan.

Pameran turut memberi peluang kepada syarikat tempatan seperti AVP Engineering, Boustead Naval Shipyard, Destini Berhad, DRB Hicom Defence Technologies (DefTech), Muhibbah Engineering, Rohde & Schwarz Malaysia, Sapura Defence, SME Ordnance dan System Consultantcy Services and Weststar Group mempamerkan produk masing-masing.

DRB-Hicom dan anak syarikat DefTech, Defence Services Sdn Bhd (DSSB) dan beberapa anak syarikat lain mengambil bahagian dalam pameran itu serta mempamerkan pelbagai jenis kenderaan tentera dan keselamatan.

Ia termasuk kereta perisai bersenjata, kenderaan untuk operasi, latihan serta logistik.

Antara kereta perisai yang dipamerkan ialah AV 8 Gempita yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia hasil idea dan teknologi DRB Hicom dan pengeluar kenderaan ketenteraan terbesar Turki, FNSS Savunma Sistemleri A S (FNSS Savunma).

Selain itu, beberapa kenderaan prototaip tentera turut dipamerkan. Antara­nya, AV4 kereta perisai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dihasilkan DRB Hicom bersama syarikat dari Thailand yang bukan saja kalis peluru, malah dilengkapi pelancar bom tangan.

Sama seperti AV 4 Lipanbara yang bakal menjadi kenderaan perisai ATM pada Julai depan, kenderaan berkenaan turut melepasi spesifikasi keselamatan tahap tiga.

Selain itu, AV Condor yang diperbaharui DSSB turut dipamerkan dengan lebih banyak ciri terutama di bahagian dalamnya digunakan sebagai perisai untuk mengangkut anggota tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 12:47 PM