Helikopter tempur model H225M pada Pameran Defence Services Asia, Ballroom 2, Aras 3, MITEC Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Helikopter tempur model H225M pada Pameran Defence Services Asia, Ballroom 2, Aras 3, MITEC Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Widad Business Group (WBG) meneroka industri pertahanan menerusi kerjasama bersama tiga syarikat pertahanan antarabangsa.

WBG adalah syarikat Konglomerat Bumiputera di Malaysia yang terbabit dalam pelbagai sektor perniagaan mencakupi industri Pertahanan, Pengurusan Fasiliti Bersepadu, Pembinaan dan Pembangunan Hartanah, Pendidikan Tinggi, Tenaga dan Utiliti Air.

Ketua Strategi Korporat WBG, Ilham Widad berkata, pihaknya mula meneroka industri pertahanan pada 2020.

"WBG meneroka bidang pembekalan peralatan pertahanan selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat luar negara.

"Terbaru kita menandatangani dua perjanjian bersama Hanwha Aerospace, sebuah syarikat teknologi Korea Selatan dan syarikat dari Turkiye, iaitu Havelsan Hava Elektronik Sanayi ve Ticaret AS," katanya pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, hari ini.

Ilham berkata, kerjasama dengan syarikat dari Korea Selatan adalah bagi mengintegrasi kepakaran bagi pembuatan dan pembekalan Sistem Pelancar Roket Berganda (MLRS) model K239 Chunmoo kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, bagi syarikat dari Turkiye ia adalah kerjasama dalam mengenalpasti dan membangunkan Simulator Latihan Tembakan Bersenjata (Weapon Training Shooting Simulator) atau dikenali sebagai WeTSS.

"Kita menyatakan keyakinan bahawa kerjasama berkenaan dapat meningkatkan potensi inovasi serta menambah baik keupayaan pertahanan negara apabila dilaksanakan nanti.

"Kerjasama dengan kedua-dua syarikat itu akan menambah lagi kerjasama strategik di antara Malaysia dengan negara-negara berkenaan bukan saja dari aspek ekonomi, tetapi dapat memberikan peluang pemindahan teknologi, pengetahuan persenjataan moden serta pengalaman industri pertahanan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 4:21 PM