Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Media Prima Omnia (Omnia), penyedia perkhidmatan kreatif dan pemasaran bersepadu Media Prima bakal memperkenalkan platform perniagaan baharu dikenali sebagai Omnia Usahawan Social Biz (OmniaUSB) dengan kerjasama Harian Metro yang memfokus dalam membantu usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bangkit semula daripada kesan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan berkata, melalui jalinan dan rangkaian yang terdapat di Omnia, pihaknya komited menghubungkan pemilik perniagaan PKS dengan media tempatan untuk tujuan promosi dan kesedaran penjenamaan.

Katanya, platform OmniaUSB itu juga menyasarkan pengusaha mikro, PKS, usahawan pemula dan industri barangan pengguna yang bergerak pantas atau cepat laris (FMCG) yang diusahakan dari rumah.

"Di Omnia, kami memiliki jaringan yang amat meluas dan menguntungkan dalam pasaran khususnya pasaran masyarakat Melayu dan kami ingin memberikan peluang yang menguntungkan ini kepada semua perniagaan PKS," katanya.

Pelancaran platform perniagaan baharu di bawah Omnia itu akan berlangsung pada 18 Ogos ini dengan sesi webinar percuma diadakan selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 Ogos ini.

Sementara itu, sempena pelancaran inisiatif ini, orang ramai berpeluang mengikuti perkongsian ilmu perniagaan daripada tiga penceramah berpengalaman yang diadakan pada 18 Ogos ini.

Antara penceramah yang mengambil bahagian sepanjang hari itu termasuk Mohd Shaiful Bahri Othman yang akan berkongsi tip 6 Undang-Undang Kejayaan pada jam 2.30 petang.

Ia diikuti Mohd Najib Asaddok yang akan mengupas topik Bina Copywriting Tarik Pelanggan di Facebook pada jam 3 petang manakala, sesi terakhir pada jam 3.30 petang akan dikendalikan Amsyari Zarir Abdul Shakur dengan topik 3 Enjin Dalam Bisnes.

Semua sesi webinar ini akan disiarkan di laman Facebook Harian Metro dan di www.omniausb.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 7:01 AM