Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Sempena pelancaran platform perniagaan Media Prima Omnia (Omnia) dikenali sebagai Omnia Usahawan Social Biz (OmniaUSB), seramai empat pakar perniagaan berpengalaman dan popular di Malaysia bakal berkongsi ilmu serta kepakaran mereka kepada orang ramai.

Sesi webinar yang akan berlangsung 19 Ogos itu bukan sahaja memberi peluang pengusaha mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula, mendapatkan ilmu perniagaan, malah berpeluang menikmati insentif yang ditawarkan Omnia.

Sebagai penyedia perkhidmatan kreatif dan pemasaran bersepadu Media Prima, Omnia yakin melalui OmniaUSB ia dapat menghubungkan pemilik perniagaan PKS dengan media tempatan untuk tujuan promosi dan kesedaran penjenamaan.

Bagi memulakan sesi perkongsian pada jam 2.30 petang, Mohd Suhaimi Saiful akan membentangkan topik mengenai Naik Cepat dan Selamat.

Beliau yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bliese itu akan berkongsi bagaimana cara untuk membina pasukan dalam perniagaan, menghasilkan keputusan cepat, meluaskan saluran pengedaran, memperkukuhkan jenama, membina sistem dan menjaga aliran kewangan.

Seterusnya, sesi webinar terbabit akan menampilkan Mohamad Muzainy Chik Mustafa jam 3 petang dengan topik Sasarkan Pengiklanan Anda Menggunakan Data Audiens.

Beliau akan berkongsi bagaimana untuk membuat capaian audiens merentasi 30 jenama media yang dipercayai oleh rakyat Malaysia, bagaimana cara data dikumpulkan, kajian kes, mengenali demografi audiens dan pelbagai lagi.

Pada jam 3.30 petang pula, Kisan Lim Kok Seng akan membincangkan tajuk Sistem Perniagaan Menyeluruh Dalam Menguruskan Operasi Syarikat.

Diikuti pakar industri, Ahmad Hisham Wahab pada jam 4 petang, beliau akan mengupas topik berkaitan sumber manusia (HR) melalui tajuk Peranan HR Dalam SME Yang Ramai Bisnes Owner Tak Tahu.

Ketua Pegawai Eksekutif PakarHR Sdn Bhd itu akan mengetengahkan mengenai HR termasuk akta yang perlu majikan patuhi, menangani tanggapan salah usahawan mengenai HR yang tidak membantu dalam jualan dan apa peranan sebenar HR.

Selain itu, Ahmad Hisham juga akan berkongsi tiga perkara wajib mengurus HR iaitu rekod dan dokumen, sistem serta ilmu urus pekerja.

Orang ramai, usahawan dan PKS digalakkan untuk turut serta dalam program sempena pelancaran platform OmniaUSB ini yang akan berlangsung hari ini (18 Ogos) jam 11 pagi di laman Facebook Harian Metro dan di www.omniausb.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:02 AM